3,455 kes baharu Covid-19 pada hari ini. FOTO NSTP
3,455 kes baharu Covid-19 pada hari ini. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Negara mencatatkan kes kematian tertinggi Covid-19 selepas merekodkan 21 kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kematian bertambah kepada 791 kes, 0.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian hari ini membabitkan 12 kes di Selangor, empat kes di Sabah, masing-masing dua kes di Johor dan Kuala Lumpur, serta satu kes di Kedah.

"Sebanyak 20 kes kematian pada hari ini membabitkan warganegara dan satu kes bukan warganegara.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka," dalam kenyataan, hari ini.

Mengenai penularan Covid-19 dalam negara, beliau berkata, ia mencatatkan penurunan dengan 3,455 kes direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 222,628 kes dengan kebolehjangkitan 47,847 kes.

Katanya, daripada jumlah itu, lima kes import dilaporkan, manakala 3,450 kes lagi membabitkan penularan tempatan.

"Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,145 kes diikuti Johor (708 kes) dan Kuala Lumpur (619 kes).

"Sebanyak 77 kes dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen membabitkan Kluster Tembok Taiping (21 kes), Kluster Tembok Renggam (17 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (15 kes),Kluster Tembok Bukit Besi (10 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (9 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes) dan Kluster Tembok Mempaga (2 kes)," katanya.

Katanya, ada 327 kes positif Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 145 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Sebanyak 3,661 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 173,990 kes atau 78.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 7:12 PM