PENGURUSAN jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Bukit Bayan Bukit Katil, Ayer Keroh, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad.
PENGURUSAN jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Bukit Bayan Bukit Katil, Ayer Keroh, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad.
Nurul Hidayah Bahaudin.


Kuala Lumpur: Sebanyak 107 kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini membabitkan 99 warga tempatan serta lapan warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kematian membabitkan individu berusia antara 38 hingga 92 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

"Kes-kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 5,108 kes atau 0.68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes baharu Covid-19 juga merekodkan peningkatan apabila mencatatkan 6,437 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 745,703 kes dengan 62,844 kes aktif.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 14 adalah kes import manakala 6,423 kes lagi membabitkan penularan tempatan.

"Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 2,299 kes diikuti Kuala Lumpur (1,361 kes) dan Negeri Sembilan (700).

"Terdapat 905 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 455 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 5,298 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 677,751 kes atau 90.89 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 27 kluster baharu direkodkan hari ini, yang dilaporkan di Kelantan, Pahang, Selangor, Johor, Perak, Sabah, Sarawak, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

"Daripada jumlah itu, 13 kluster dilaporkan berkaitan komuniti, manakala 12 lagi kluster membabitkan tempat kerja dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Sebanyak 2,821 kluster dilaporkan sehingga kini dengan 1,934 kluster dilaporkan tamat serta 887 kluster masih aktif, setakat hari ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 7:28 PM