GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19 mencatatkan sedikit peningkatan apabila merekodkan 5,755 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 2,602,835 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 5,755 kes direkodkan hari ini, sebanyak 101 kes atau 1.8 peratus adalah kategori 3, 4 dan 5.

"Sebanyak 5,654 lagi kes atau 98.2 peratus adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

"Daripada jumlah kes dilaporkan, 23 adalah kes import, manakala 5,732 kes lagi membabitkan penularan tempatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 506 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan 426 kes Covid-19, manakala 80 kes dalam siasatan dengan 270 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Sebanyak 5,082 kes dilaporkan pulih menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 2,503,427 kes atau 96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengenal pasti lapan kluster baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kluster sebanyak 5,906 dengan 5,672 kluster tamat, manakala 234 kluster lagi masih aktif.

Menurutnya, data terkini kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia, sehingga semalam adalah pada 1.00.

"Negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Putrajaya dengan 1.14 diikuti Selangor (1.06) dan Johor (1.05).

"Semua negeri mencatatkan nilai Rt melebihi daripada 1.00 kecuali lima negeri iaitu Terengganu (0.99), Melaka (0.99), Sarawak (0.83), Perlis (0.91) dan Labuan yang merekodkan nilai Rt 0," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 7:25 PM