SULAIMAN bercakap kepada wartawan selepas diumumkan sebagai calon. FOTO Asyraf Hamzah
SULAIMAN bercakap kepada wartawan selepas diumumkan sebagai calon. FOTO Asyraf Hamzah
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Masjid Tanah: Meneruskan agenda pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu menjadi tumpuan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sulaiman yang akan mempertahankan kerusi DUN Lendu bakal bersaing dengan dua lagi pencabar daripada parti Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, Lendu akan terus dibangunkan sebagai hub pendidikan di negeri Melaka, selain menaik taraf infrastruktur dan pembangunan belia di kawasan itu.

"Perancangan yang dibuat akan diteruskan, malah Lendu akan dijadikan hab pendidikan kerana pelbagai institusi pendidikan akan dibawa ke sini.

"Infrastruktur dan jaringan jalan raya yang lebih baik juga menjadi tumpuan supaya keselesaan bukan saja dinikmati oleh rakyat Lendu, malah mereka yang berkunjung ke daerah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Lendu, di sini, hari ini.

Turut mengiringi beliau, Timbalan Presiden UMNO merangkap Pengarah Pilihan Raya PRN Melaka BN, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Lendu, Haidir Harun mengumumkan tiga calon diterima pencalonan untuk kerusi Lendu.

Selain Sulaiman, dua lagi calon bertanding antaranya Mohamad Asri Ibrahim dari Pakatan Harapan (PH) dan Mejar (B) Abdullah Mahadi dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) mewakili Perikatan Nasional.

(DARI kiri) Sulaiman, Abdullah dan Mohamad Asri. FOTO Asyraf Hamzah
(DARI kiri) Sulaiman, Abdullah dan Mohamad Asri. FOTO Asyraf Hamzah

Sementara itu, Abdullah berkata, dia mengakui agak gugup berdepan dengan Ketua Menteri dalam persaingan di Lendu.

"Saya pertama kali bertanding dan sejujurnya menghormati Sulaiman sebagai pesaing dan rakan seperjuangan.

"Larangan kempen fizikal menyebabkan media sosial akan dijadikan platform utama berkempen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 1:03 PM