Sebanyak 990 liter petrol dirampas dalam dua rampasan berasingan yang dianggarkan bernilai RM2,029 awal pagi tadi. FOTO IHSAN PGA
Sebanyak 990 liter petrol dirampas dalam dua rampasan berasingan yang dianggarkan bernilai RM2,029 awal pagi tadi. FOTO IHSAN PGA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 990 liter minyak petrol dianggarkan bernilai RM2,029.50 dalam dua rampasan berasingan, hari ini.

Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan itu dilakukan di Kampung Geting.

"Rampasan pertama dibuat pada 1 pagi tadi apabila anggota membuat rondaan di sekitar Kampung Geting dan ternampak Proton Iswara diparkir di hadapan rumah.

"Kereta itu tiada pemandu di dalamnya dan dibiarkan bersama anak kunci.

"Pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui beberapa tong yang mengandungi 540 liter petrol dianggarkan bernilai RM1,107 di bahagian tempat duduk belakang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azhari berkata, pihaknya mengetuk pintu rumah dan menunggu kira-kira sejam namun tiada individu yang datang menuntut barang berkenaan.

Dua jam selepas itu, rampasan diteruskan di Pangkalan Haram Pok Ngoh apabila pihaknya ternampak beberapa tong di tepi Sungai Golok.

"Rondaan dilakukan pada 3.15 pagi dan ketika pemeriksaan dibuat, kami dapati semua tong itu diisi dengan 450 liter minyak petrol dengan anggaran nilai RM922.50.

"Kami menunggu selama setengah jam namun tiada yang datang menuntut," katanya.

Azhari berkata, pihaknya percaya semua petrol itu dalam proses untuk diseludup ke Thailand menggunakan bot galah.

Semua rampasan termasuk kenderaan dibawa ke Kompeni Taktikal Kuala Jambu dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 12:21 PM