Kereta Proton Saga FLX dan tong mengandungi petrol yang dirampas di tebing Sungai Golok, Rantau Panjang. FOTO Ihsan Batalion ke-2 Rejiman Sempadan. FOTO ihsan ATM
Kereta Proton Saga FLX dan tong mengandungi petrol yang dirampas di tebing Sungai Golok, Rantau Panjang. FOTO Ihsan Batalion ke-2 Rejiman Sempadan. FOTO ihsan ATM
Hazira Ahmad Zaidi


GELAGAT mencurigakan dua lelaki dalam Proton Saga FLX di tebing Sungai Golok, Rantau Panjang membongkar cubaan mereka untuk menyeludup petrol ke negara jiran.

Dalam kejadian pada 8.20 malam Khamis lalu, kedua-dua lelaki itu ditahan bersama 49 tong berisi petrol dan kereta terbabit dianggarkan bernilai RM20,000.

Batalion ke-2 Rejimen Sempadan dalam kenyataan, hari ini berkata lima anggota tentera melakukan rondaan di sempadan Kelantan-Thailand sebelum ternampak sebuah kereta di tebing Sungai Golok.

Menurutnya, mereka kemudian melakukan pemeriksaan terhadap lelaki itu kerana dilihat mencurigakan.

“Sebaik menyedari kehadiran anggota, salah seorang daripada mereka melarikan diri manakala seorang lagi berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kereta terbabit sudah diubah suai bagi menyeludup petrol ke negara jiran, selain menemui 12 tong (30 liter) dan 37 tong (25 liter) petrol dalam kenderaan itu,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu bersama barang rampasan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, rampasan itu adalah kejayaan ketiga pada tahun ini selepas menggagalkan cubaan menyeludup daun ketum dalam kuantiti besar pada awal bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 4:32 PM