Sebanyak 37 tong yang mengandungi petrol bernilai RM1,864.80 dirampas anggota Batalion 9 PGA di tebing Sungai Golok, pagi tadi. FOTO IHSAN PGA
Sebanyak 37 tong yang mengandungi petrol bernilai RM1,864.80 dirampas anggota Batalion 9 PGA di tebing Sungai Golok, pagi tadi. FOTO IHSAN PGA
Siti Rohana Idris


DUA lelaki meninggalkan 37 tong mengandungi 1,100 liter petrol di tebing sungai dan melarikan diri ke negara jiran sebaik ternampak kelibat pihak berkuasa, hari ini.

Semua tong itu ditemui di tepi Sungai Golok di pangkalan haram Mok Da di Kampung Simpangan, Tumpat, sebaik dua lelaki dipercayai penyeludup itu melarikan diri ke negara jiran menggunakan bot galah.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, dalam rondaan di kawasan tanggungjawab Kuala Jambu pada 8.30 pagi, anggotanya ternampak dua lelaki sedang memindahkan barang dari tebing sungai ke dalam bot.

"Menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu bot bersama dua lelaki itu melarikan diri dengan menaiki bot ke Sungai Golok dengan meninggalkan barangan di tebing sungai.

"Hasil pemeriksaan terdapat 37 tong dengan setiap tong berisi 30 liter petrol yang disyaki untuk diseludup ke Thailand," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Azizan berkata, semua rampasan petrol dianggarkan bernilai RM1,864.80 itu dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 6:06 PM