Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Tindakan seorang penyeludup petrol memecut laju kenderaannya membawa padah apabila keretanya terbabas melanggar pagar rumah penduduk di Kampung Kubang Rambutan, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian 5.15 petang itu, anggota bertugas mengekori kereta jenis Proton Saga berwarna biru yang dipandu suspek lelaki berusia 27 tahun sebelum berlaku kemalangan berkenaan.

Katanya, anggota kemudian mendapati suspek tersepit di antara tong plastik yang mana selepas dibuat pemeriksaan dipercayai mengandungi sebanyak 625 liter minyak petrol yang diisi di dalam 25 tong dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

"Suspek dibawa oleh anggota ke Hospital Pasir Mas (HPM) kerana mengalami kecederaan dan tiada kemalangan jiwa membabitkan orang awam. Namun, hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau.

"Suspek pernah disabit kesalahan di bawah Seksyen 26A Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

"Sementara itu, pada hari yang sama, pihak kami turut membanteras satu lagi penyeludupan minyak petrol, juga sebanyak 625 liter yang dibawa seorang lelaki menaiki Proton Saga berwarna kelabu di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang," katanya dalam sidang media di Markas Taktikal PGA Briged Tenggara di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Azanizam Affendi Juri dan Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad.

Azhari berkata, suspek kedua berusia 34 tahun juga mempunyai rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

Tambahnya, kesemua barang rampasan termasuk dua kereta daripada kesemua serbuan bernilai RM22,300 diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pasir Mas, untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi melihat kereta penyeludup yang melanggar sebuah rumah selepas sidang media di Markas Taktikal Batalion 7 PGA, Lubok Stol.  FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi melihat kereta penyeludup yang melanggar sebuah rumah selepas sidang media di Markas Taktikal Batalion 7 PGA, Lubok Stol. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Hasil siasatan mendapati mereka mengambil bekalan minyak dari kawasan perindustrian Pasir Mas sebelum dibawa seludup ke Thailand melalui Pangkalan Haram Mayat, Kampung Rahmat, Lubok Stol, di sini.

"Kedua-dua kes disiasat di Bawah seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Saya juga ingin berkongsi kejayaan PGA7 sepanjang menjaga Op Benteng Covid-19 dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM4.2 juta membabitkan pelbagai kes penyeludupan seperti barangan kontraban, kosmetik dan ayam sejuk beku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 5:18 PM