Kenderaan yang ditahan di sekat pintas Pos Ular kerana membawa muatan 48 tong petrol untuk diseludup ke Thailand. NSTP/IHSAN PGA
Kenderaan yang ditahan di sekat pintas Pos Ular kerana membawa muatan 48 tong petrol untuk diseludup ke Thailand. NSTP/IHSAN PGA
Oleh Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


Tumpat: Disebabkan laluan beberapa kampung masih digenangi air, seorang penyeludup yang membawa sejumlah petrol mencuba nasib melalui sekat pintas Pasukan Gerakan Am (PGA).

Bagaimanapun remaja yang berusia 19 tahun dan memandu kenderaan jenis Mitsubishi Pajero itu akhirnya ditahan sepasukan anggota Batalion 9 PGA yang bertugas di sekat pintas Pos Ular pada jam 6.30 pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Azhari Nusi berkata ketika sedang bertugas, anggotanya menahan kenderaan itu yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Pengkalan kubor menghala ke Jalan Kampung Simpangan.

"Lelaki itu diminta menunjukkan dokumen pengenalan diri sebelum dijalankan pemeriksaan tubuh badan namun tidak menjumpai sebarang barangan salah.

"Seterusnya pemeriksaan dibuat di dalam pajero itu dan menemui sebanyak 48 tong dengan kandungan 1,440 liter minyak disyaki petrol dan dipercayai untuk diseludup ke Thailand menggunakan jalan yang tidak diwartakan.

"Suspek mengaku minyak petrol yang dianggarkan bernilai RM2,563.20 itu akan dibawa ke Pangkalan Haram Pokleh untuk dibawa menggunakan bot menyeberangi Sungai Golok bagi tujuan pasaran negara jiran," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azhari berkata, semua petrol termasuk kenderaan rampas dan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk pemeriksaan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 8:49 PM