Siti Rohana Idris


Tumpat: Menggunakan taktik mengisi penuh tangki kereta yang sudah diubahsuai dengan minyak petrol di beberapa stesen minyak.

Kereta itu kemudiannya dibawa balik ke setor di pangkalan haram berhampiran Sungai Golok untuk dipindahkan ke dalam tong sebelum diseludup ke Thailand.

Itu adalah modus operandi yang dilakukan penyeludup petrol yang mensasarkan beberapa stesen minyak sekitar bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Azhari Nusi, berkata dalam kes malam tadi, pihaknya merampas sebuah kenderaan yang digunakan untuk menyeludup bersama beberapa peralatan yang digunakan untuk menyedut petrol ke dalam tong.

"Dalam rondaan kira-kira 9.30 malam, anggota kami sampai di sebuah setor di Pangkalan Haram Bahaman, Kampung Simpangan.

"Pintu setor didapati terbuka dan anggota kami ternampak beberapa lelaki sedang memindahkan minyak daripada sebuah kereta dengan menggunakan pam khas.

"Menyedari kehadiran pihak berkuasa, sekumpulan lelaki itu terus melarikan diri dengan membawa bersama beberapa buah tong yang disyaki mengandungi minyak petrol," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azhari berkata, pemeriksaan lanjut di dalam but belakang mendapati ada tangki yang diubah suai dan tujuh tong plastik kosong berwarna biru, berserta alat penimbang yang terdapat bersebelahan kenderaan jenis Proton Saga Iswara itu.

Menurutnya lagi, semua barang yang dirampas dibawa ke Balai Polis Simpangan, Pengkalan Kubor, untuk tindakan dan siasatan lanjut.

"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM6,830 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 10:40 AM