Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Empat laporan polis dibuat terhadap sebuah akaun Facebook menggunakan nama 'Farouk Sungib' kerana memuat naik kenyataan jelik terhadap kerabat Diraja Johor, Rabu lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya sedang menunggu laporan lengkap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum mengambil tindakan lanjut.

Beliau berkata, polis juga sudah mengenal pasti pemilik akaun Facebook Farouk Sungib yang berusia 25 tahun dan dipercayai berasal dari Batu Pahat.

"Kita juga sedang mengesan seorang lagi suspek yang dikenali dengan nama Muaz dan menunggu laporan SKMM sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan, memperlekeh dan menimbulkan rasa kurang selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya pada sidang media di Dewan Dato Onn IPK Johor, di sini, hari ini.

KETUA Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. FOTO Bernama
KETUA Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. FOTO Bernama

Semalam, media melaporkan Persatuan Pesara Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook 'Faruq Sungib' kerana didakwa memperlekehkan kerabat Diraja Johor.

Setiausahanya, Mohd Nazli Hamdan dilaporkan berkata, kenyataan berkenaan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat negeri ini.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, reman 17 suspek ahli sindiket Macau Scam yang beroperasi di sebuah rumah inap desa di Bandar Penawar, Kota Tinggi, disambung tiga hari lagi bermula hari ini.

Selasa lalu, Polis Johor dilaporkan berjaya menahan 17 suspek yang dipercayai ahli sindiket Macau Scam termasuk dua wanita, berusia 22 hingga 33 tahun, dalam satu serbuan dibuat di inap desa berkenaan.

Mereka dipercayai bekerja rumah inap desa berkenaan yang dijadikan pusat panggilan (call centre) sindiket itu dengan menyamar sebagai pegawai pos laju dan pegawai penguat kuasa daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 3:00 PM