Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pembantu gerai buah direman empat hari mulai hari ini kerana memuat naik 12 video mengandungi komen jelik serta menghina Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di rumahnya dekat Kampung Sri Desa, Ayer Hitam, Batu Pahat, kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Katanya, lelaki berkenaan memuat naik video dengan komen jelik dan menghina TMJ itu di akaun Instagram, 'amirul_naito'.

"Suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga Khamis bagi membantu siasatan berhubung memuat naik video jelik dan menghina TMJ yang tular sejak semalam.

"Penahanan suspek dibuat sepasukan polis dari Iskandar Puteri serta anggota dari Balai Polis Ayer Hitam, malam tadi.

"Dalam serbuan berkenaan polis turut merampas sebuah telefon bimbit bersama simkad, satu unit topu, sehelai baju hitam berlengan panjang, sehelai seluar jeans pendek dan senaskhah al-Quran yang digunakan dalam video dimuat naik untuk dijadikan bukti kes.

"Setakat ini, 10 laporan polis dibuat termasuk laporan pertama di Balai Polis Kangkar Pulai, di sini, berhubung video dimuat naik suspek, kira-kira jam 9 pagi, semalam," katanya pada sidang media di IPK Johor, di sini, hari ini.

DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay. FOTO Nur Aisyah Mazalan
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes ugutan jenayah dan khianat.

"Siasatan akan dibuat terhadap motif suspek memuat naik video dengan kata amat jelik serta menghina TMJ.

"Siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Ayob Khan turut menasihatkan supaya masyarakat tidak menyalah guna media sosial dengan memuat naik video dengan kata-kata jelik apatah lagi bersifat menghina.

"Polis Johor akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyalah guna media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 4:33 PM