Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Polis merampas 34.69 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM1.24 juta menerusi dua operasi berasingan di Batu Pahat dan Seri Alam, di sini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi yang dijalankan membabitkan dua sindiket berlainan membawa kepada penahanan tujuh individu tempatan termasuk dua wanita berusia 29 hingga 43 tahun.

Katanya, dadah dirampas bagi kedua-dua operasi ini boleh digunakan oleh seramai 173,450 penagih.

"Pada 7 Ogos lalu, kira-kira jam 12 tengah malam hingga 3.30 pagi, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Batu Pahat menjalankan tiga serbuan di sekitar Batu Pahat.

"Seorang lelaki tempatan ditahan bersama sejumlah rampasan dadah jenis syabu dan hasil saringan air kencing mendapatinya positif dadah jenis Morphine selain mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

"Ia kemudiannya membawa kepada tangkapan susulan terhadap tiga individu termasuk sepasang suami isteri, selain kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Modus operandi penyeludupan dadah ini dengan menggunakan perkhidmatan tekong laut bagi menyeludup dadah ke negara jiran melalui jalan laut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

AYOB Khan (tiga kanan) melihat barang rampasan berkaitan tangkapan sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang media di IPK Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
AYOB Khan (tiga kanan) melihat barang rampasan berkaitan tangkapan sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang media di IPK Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Ayob Khan berkata, bekalan dadah dipercayai diperoleh dari negeri utara selain sindiket ini beroperasi sejak awal Julai lalu.

Katanya, rampasan dadah syabu membabitkan 29.48 kg bernilai RM1.06 juta dengan keseluruhan nilai rampasan dadah serta sitaan berjumlah RM1.09 juta, selain empat suspek itu direman tiga hingga tujuh hari bermula 7 hingga 14 Ogos ini.

Beliau berkata, dalam operasi berasingan, pada 3 Ogos lalu kira-kira jam 12 tengah malam, pihaknya menahan tiga lelaki tempatan bersama sejumlah rampasan dadah jenis syabu di sekitar Seri Alam, di sini.

"Kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan hasil semakan rekod mendapati kesemuanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

"Bekalan dadah yang dirampas ini adalah bagi pasaran tempatan sekitar Johor Bahru, selain sindiket ini dipercayai beroperasi sejak awal Januari lalu.

"Rampasan dadah membabitkan 5.21 kg syabu bernilai RM187,848 dengan keseluruhan nilai rampasan dadah serta sitaan adalah RM697,658 dan kesemuanya sudah direman tujuh hari bermula 3 hingga 9 Ogos lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 2:24 PM