Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my


Johor Bahru: Polis merampas 34.2 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai RM2 juta dalam enam serbuan di sekitar daerah ini, Ahad lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan pertama bermula jam 2.40 petang membolehkan polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun bersama sejumlah rampasan dadah.

Katanya, hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin manakala semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek turut mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.

Susulan daripada serbuan itu, Ayob Khan berkata, polis membuat serbuan kedua sebelum berjaya menahan tiga lagi suspek membabitkan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 34 hingga 61 tahun bersama sejumlah rampasan dadah.

"Hasil serbuan pertama dan kedua, polis membuat beberapa lagi serbuan di sekitar bandar raya ini dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun.

"Hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin manakala hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Dengan tertangkapnya ahli sindiket pengedaran dadah ini, polis berjaya merampas dadah membabitkan 32.97 kg serbuk ekstasi, 481 gram pil ekstasi, 300 gram pil eramin 5, 375 gram ketamin dan 114 gram syabu bernilai lebih RM2 juta," katanya.

JOHOR BAHRU 24 JULAI 2021.Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan antara barang rampasan berkaitan kes sindiket pengedaran dadah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
JOHOR BAHRU 24 JULAI 2021.Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan antara barang rampasan berkaitan kes sindiket pengedaran dadah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, dalam enam serbuan yang dibuat, polis turut merampas dua kereta, sebentuk cincin emas, wang tunai RM8,830 selain menyekat sembilan akaun bank dengan nilai sitaan berjumlah RM201,291.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati sindiket ini sudah beroperasi kira-kira setahun yang lalu.

Katanya, bekalan dadah yang dirampas ini dipercayai untuk pasaran tempatan yang membabitkan penggunaan di pusat hiburan dan juga parti persendirian.

"Dadah yang dirampas ini dipercayai boleh digunakan oleh seramai 114,324 penagih dadah.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 30 Julai untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 4:02 PM