Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: "Gambarannya, (kalau) sudah boleh rentas negeri, saya rasa tidak ada fasa dah," kata Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad.

Beliau menjangkakan tiada keperluan untuk Perak beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) berikutan kelonggaran rentas negeri membabitkan seluruh negara yang dikatakan bakal dilaksana dalam sedikit masa lagi.

Katanya, jangkaan itu secara tidak langsung memberi dua bayangan iaitu sama ada Perak kekal di Fasa 2 PPN biarpun kelonggaran rentas negeri mula dilaksanakan kelak atau sudah tiada lagi pembahagian Fasa bagi PPN mengikut negeri.

"Saya rasa selepas sahaja nanti (kadar vaksinasi rakyat Malaysia) 90 peratus, kalau nanti Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sudah umumkan bahawa boleh rentas negeri, (maka) sudah tidak ada fasa (PPN) lagi.

"Saya juga diberitahu bahawa populasi dewasa yang sudah lengkap divaksin dengan sekurang-kurangnya satu dos sudah mencapai 94 peratus yang bermakna untuk dos kedua perlu tunggu masa dan giliran sahaja lagi.

Jadi saya jangka selewat-lewatnya hujung bulan ini kadar vaksinasi lengkap (dewasa) di Perak akan capai 90 peratus," katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara 2021 peringkat negeri di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi, dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad ketika menurunkan tandatangan di atas plak sebagai gimik perasmian selepas menyempurnakan sambutan Hari Sukan Negara 2021 peringkat Perak di Stadium Perak, di sini, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad ketika menurunkan tandatangan di atas plak sebagai gimik perasmian selepas menyempurnakan sambutan Hari Sukan Negara 2021 peringkat Perak di Stadium Perak, di sini, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Bagaimanapun, Saarani berkata, ia tidak memberi jaminan rakyat bebas melakukan semua perkara memandangkan angka kes harian positif Covid-19 sama ada di peringkat Pusat mahupun negeri masih di pola turun-naik.

Rabu lalu, media melaporkan kerajaan Perak tidak bercadang melaksanakan sebarang sekatan bagi kemasukan penduduk luar ke negeri ini, jika aktiviti rentas negeri dibenarkan dalam waktu terdekat sekali pun kadar vaksinasi penduduk negeri ini masih jauh dari sasaran.

Sementara itu, data yang dipaparkan dalam laman web COVIDNOW setakat 11.59 malam tadi menunjukkan sebanyak 78.5 peratus populasi dewasa di Perak sudah lengkap divaksin imunisasi Covid-19 manakala 84.8 peratus sekurang-kurangnya menerima satu dos pelalian.

Manakala berpandukan data sama, hanya 58.5 peratus daripada keseluruhan populasi penduduk iaitu termasuk individu di bawah usia 18 tahun di Perak yang lengkap divaksin dengan 70.3 peratus sekurang-kurangnya sudah menerima satu dos vaksin.

Setakat ini, hanya tinggal lima negeri sahaja berada di Fasa Dua dan Fasa Satu PPN iaitu Perak, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, dan Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 12:53 PM