Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Sebanyak 223 laporan polis diterima daripada individu berhubung keengganan mereka dan keluarga menerima vaksinasi Covid-19 di Perak sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kebanyakan alasan yang diberikan untuk enggan divaksin adalah disebabkan hak asasi, selain ketidakpuasan hati terhadap sekatan oleh kerajaan terhadap individu belum lengkap vaksinasi serta tidak yakin dengan keberkesanan vaksin.

"Laporan dibuat sebab ia hak mereka termasuk keluarga mereka untuk tidak dipaksa menerima vaksin.

"Ada juga yang buat laporan sebab banyak halangan diberikan oleh kerajaan terutamanya berkaitan rentas daerah serta tidak boleh memasuki premis tertentu seperti restoran," katanya.

DATUK Mior Faridalathrash Wahid (kanan) ketika menyerahkan sijil penghargaan kepada Murad Mat Tab. FOTO Zulsyamini Sufian
DATUK Mior Faridalathrash Wahid (kanan) ketika menyerahkan sijil penghargaan kepada Murad Mat Tab. FOTO Zulsyamini Sufian

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis meraikan persaraan 105 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak Zon 2 Kontinjen Perak di Dewan Tun Salleh Kompleks Perumahan PDRM Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris.

Mior Faridalathrash berkata, tiada alasan yang diberikan berkenaan kesihatan seperti ibu baru bersalin.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, hampir 100 peratus anggota PDRM Perak sudah lengkap divaksinasi.

Menurutnya, ramai juga daripada anggotanya sudah mendapatkan dos penggalak (booster) vaksinasi Covid-19.

"Alhamdulillah boleh dikatakan 100 peratus anggota PDRM Perak sudah divaksin selain sudah ramai yang mendapatkan dos penggalak. Saya seorang daripada yang sudah mendapatkan dos penggalak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 4:10 PM