HASNI (dua kiri) mendengar penerangan  fungsi mesin ventilator yang diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor di Hospital Sultanah Aminah (HSA). FOTO Omar Ahmad
HASNI (dua kiri) mendengar penerangan fungsi mesin ventilator yang diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor di Hospital Sultanah Aminah (HSA). FOTO Omar Ahmad
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Johor dijangka memenuhi semua nilai ambang yang ditetapkan kerajaan sekali gus beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), minggu depan.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, ia termasuk nilai ambang untuk mencatatkan liputan vaksin lengkap melebihi 10 peratus kepada rakyat negeri Johor.

"Setakat hari ini, hampir 10 peratus rakyat Johor sudah divaksin. Minggu hadapan vaksinasi Johor akan melebihi nilai ambang ditetapkan kerajaan iaitu melebihi 10 peratus.

"Oleh itu, kita yakin Johor akan dapat beralih ke Fasa Kedua PPN, minggu hadapan," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan tiga mesin ventilasi kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Sabtu lalu, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis dilaporkan memenuhi semua nilai ambang untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa, Isnin lalu.

Semalam pula, Pulau Pinang diumumkan menjadi negeri keenam yang beralih ke fasa dua di bawah PPN berkuat kuasa hari ini.

Keenam-enam negeri berkenaan memenuhi ketiga-tiga indikator nilai ambang yang diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan PPN.

Ia termasuk penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan peratusan populasi dewasa yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin mencatatkan liputan vaksin lengkap melebihi 10 peratus.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 7:02 PM