DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Farizul Hafiz Awang
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Farizul Hafiz Awang
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Labuan menjadi wilayah pertama di negara ini yang beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) selepas 92.4 peratus daripada populasi dewasanya mencapai imuniti kelompok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan Negeri Sembilan kini memasuki Fasa Dua PPN dan kedua-duanya berkuat kuasa pada 26 Ogos ini.

Beliau berkata, keputusan untuk membenarkan Labuan beralih ke Fasa Empat dibuat berdasarkan kepada kadar vaksinasi lengkap dua dos bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) selain disokong oleh data yang menunjukkan trend kes positif Covid-19 harian di Labuan yang menurun kepada satu digit secara konsisten selama 12 hari berturut-turut.

Katanya, kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Labuan kini menurun ke angka sifar atau 0 peratus berbanding 30 peratus pada bulan sebelumnya.

"Mengambil kira keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan hari ini mengumumkan peralihan Fasa PPN di Labuan daripada Fasa Tiga kepada Fasa Empat," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ismail Sabri berkata, peralihan Negeri Sembilan dari Fasa Satu ke Fasa Dua PPN pula berikutan keadaan Covid-19 di Negeri Sembilan yang bertambah baik dengan menunjukkan trend penurunan penggunaan wad ICU daripada lebih 120 peratus kapasiti pada hujung Mei kepada kurang daripada 40 peratus kelmarin.

Beliau berkata, perkembangan itu selaras dengan pencapaian kadar vaksinasi yang semakin tinggi iaitu 72.3 peratus daripada kalangan populasi dewasa yang menerima dua dos.

"Ini menunjukkan Negeri Sembilan berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran imuniti kelompok dalam masa terdekat.

"Sehubungan itu, kerajaan mengumumkan peralihan Fasa PPN di Negeri Sembilan daripada Fasa Satu kepada Fasa Dua. Keputusan ini diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Dengan peralihan itu, penduduk di Labuan kini boleh menikmati kelonggaran semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 100 peratus, tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berkuat kuasa dan seminar, bengkel, kursus, dan aktiviti berkaitan mesyuarat bersemuka dibenarkan dengan kapasiti ruang 50 peratus.

Mereka juga boleh mengadakan majlis sosial seperti kenduri-kendara, sambutan perayaan, pertunangan, 'retreat' dan 'reunion' dengan had 50 peratus berdasarkan kapasiti premis atau dewan serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, antara kelonggaran yang akan diberikan kepada penduduk Negeri Sembilan sama seperti negeri-negeri lain yang beralih ke Fasa Dua termasuk kebenaran pergerakan rentas daerah bagi individu yang lengkap dua dos vaksin; pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan merentas negeri bagi tujuan berjumpa pasangan masing-masing, dengan syarat kedua-duanya lengkap dua dos vaksin dan ibu bapa atau penjaga yang sudah melengkapkan vaksinasi serta mempunyai anak bawah usia 18 tahun yang menetap di negeri lain dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa.

Katanya, individu sudah melengkapkan vaksinasi juga dibenarkan menjalankan aktiviti solat di masjid dan surau tertakluk kepada ketetapan dan SOP oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.

"Aktiviti keagamaan di rumah ibadat agama lain bagi individu yang lengkap menerima dua dos vaksin tertakluk kepada ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

"Hanya pelanggan yang lengkap menerima dua dos vaksin dibenarkan untuk 'dine-in' di restoran, warung dan premis kedai makan, manakala pemilik premis pula wajib memaparkan notis penerimaan pelanggan yang lengkap divaksinasi.

"Aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama sahaja, dengan syarat wajib sudah menerima dua dos vaksin bagi mereka yang ingin menginap di hotel dan inap desa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 7:57 PM