GAMBAR hiasan. FOTO AZHAR RAMLI
GAMBAR hiasan. FOTO AZHAR RAMLI
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Seramai 718,884 orang atau 88.9 peratus populasi dewasa berusia 18 tahun ke atas di Terengganu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19.

Jumlah orang dewasa sudah lengkap dua dos di seluruh negeri seramai 544,131 orang atau 67.3 peratus.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, jumlah itu merangkumi 57.1 peratus daripada keseluruhan populasi yang menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala 43.2 peratus daripada keseluruhan populasi sudah lengkap divaksinasi.

Beliau berkata, status terkini Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Terengganu sehingga Ahad lalu mendapati 701,519 daripada populasi dewasa sudah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

"Sehingga Rabu lalu, kadar purata vaksinasi harian hampir mencecah 20,000 dos sehari dan kita menjangkakan akan mencapai 84 peratus daripada populasi dewasa lengkap vaksinasi akhir bulan ini.

"Kita menganggarkan 100 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi dan imuniti kelompok iaitu 80 peratus daripada keseluruhan populasi lengkap divaksinasi menjelang bulan depan," katanya kepada media, hari ini.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata demikian sebagai mengulas isu vaksinasi Covid-19 dan bekalan vaksin yang dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, semalam.

Ahmad Amzad berkata, Terengganu sudah melepasi dua daripada tiga indikator utama dijadikan ukuran untuk beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu purata kes harian Covid-19 dan kadar vaksinasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 10:06 PM