Aminuddin Harun. FOTO IHSAN PEJABAT MB
Aminuddin Harun. FOTO IHSAN PEJABAT MB
Mohd Amin Jalil


Seremban: Peralihan daripada Fasa Satu ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Negeri Sembilan mulai esok melegakan rakyat apabila lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata, operasi perniagaan juga dibenarkan sehingga jam 10 malam berbanding 8 malam sebelum ini.

Katanya, rentas daerah bagi individu yang sudah lengkap menerima vaksin dibenarkan dengan mengemukakan kad / sijil digital vaksinasi Covid-19 dan Mykad sebagai bukti apabila diminta untuk berbuat demikian.

"Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju terhadap peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara di Negeri Sembilan daripada Fasa 1 kepada Fasa 2 berkuat kuasa Khamis ini.

"Keputusan peralihan fasa ini dibuat berdasarkan data terkini yang menunjukkan terdapat trend penurunan ketara dalam penggunaan wad ICU di hospital awam daripada kapasiti melebihi 120 peratus pada hujung Mei kepada kurang 40 peratus pada 23 Ogos lalu.

"Penurunan penggunaan wad ICU adalah signifikan terhadap kesan positif pencapaian kadar vaksinasi lengkap yang semakin tinggi di negeri ini iaitu 72.3 peratus daripada kalangan populasi dewasa yang sudah menerima dua dos," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, semalam.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Negeri Sembilan beralih dari Fasa Satu ke Fasa Dua, Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 4:35 PM