PENDUDUK lihat pokok kelapa yang tumbang diserang gajah liar awal pagi semalam. FOTO Ramli Ibrahim
PENDUDUK lihat pokok kelapa yang tumbang diserang gajah liar awal pagi semalam. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Seramai 16 penduduk kerugian hampir RM200,000 apabila kawasan tanaman termasuk sawit seluas 120 hektar di Kampung Sungai Bayu Baru, dekat sini, dimusnahkan tiga gajah liar.

Kejadian itu berlaku sejak dua bulan lalu dan paling teruk kejadian terbaharu antara jam 1 hingga 5 pagi semalam.

Seorang penduduk, Che Adam Che Kob, 64, berkata, masalah ancaman gajah liar itu tidak boleh lagi dibiarkan kerana ia semakin banyak tanaman dimusnahkan.

Katanya, bukan setakat tanaman pulangan hasil jangka panjang, tanaman tembikai yang ditanam secara pusingan juga musnah.

Katanya, ada penduduk dalam ketakutan untuk mengambil buah sawit di kebun masing-masing.

"Ada juga penduduk terserempak dengan gajah itu, jam 7 pagi di kebun pisang dan mereka terpaksa lari dan pulang semula ke rumah.

"Kejadian dalam tempoh dua dan empat malam ini nampak semakin ketara hingga menjejaskan pendapatan kami semua yang bergantung kepada hasil tanaman," katanya ketika ditemui di kebunnya, semalam.

Mohd Khairi Mohamad, 34, pula berkata, perkara itu sudah beberapa kali dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah ini.

pihaknya juga melakukan pelbagai cara bagi menghalau gajah itu termasuk membakar tayar tetapi tidak berkesan.

"Setiap hari, masuk sahaja jam 8 malam, masing-masing berkurung dalam rumah kerana tidak berani lagi keluar berikutan jaga keselamatan isteri dan anak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 8:38 AM