SURESH berharap dapat naik podium di Sukan Paralimpik Paris 2024. FOTO BERNAMA
SURESH berharap dapat naik podium di Sukan Paralimpik Paris 2024. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas juara memanah para dunia, S Suresh berharap cuaca panas diramal melanda Paris sepanjang temasya Sukan Paralimpik 2024 membawa tuah kepadanya selepas pulang hampa pada edisi Tokyo 2020.

Suresh yang tersingkir awal di Tokyo 2020 berkata, dia kini lebih yakin menyahut cabaran baharu di Paris 2024 dengan melakukan panahan lebih tepat yang mampu membawanya ke kedudukan podium kali ini.

"Saya tonton berita di Perancis ketika ini agak panas, jadi saya harap boleh tahan dan cuaca ini akan bantu saya.

"Kali ini saya rasa boleh pergi jauh untuk dapatkan pingat, kalau ada rezeki boleh bawa emas," katanya selepas Majlis Pelancaran Kira Detik 50 Hari Menjelang Temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, hari ini.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan suhu musim panas di Paris kali ini diramalkan lebih tinggi berbanding sekitar 25 hingga 42 darjah Selsius yang pernah dicatatkan sebelum ini, dengan beberapa pihak menyatakan kegusaran mengenai potensi risiko kesihatan, termasuk kekejangan, keletihan dan strok haba.

Pada masa sama, Suresh berkata, peluang untuk menaiki podium pada Sukan Paralimpik Paris 2024 lebih seimbang berbanding penampilan sulungnya di Tokyo 2020.

Pemanah berusia 31 tahun itu berkata, semua pencabarnya termasuk peserta tuan rumah, Thailand, Indonesia dan India memiliki peluang sama rata untuk memburu pingat pada saingan yang akan berlangsung di Esplanade des Invalides.

"Dahulu boleh ramal negara mana yang bahaya, namun kali ini rata-rata hampir semua kuat, termasuk India yang sedang memuncak.

"Peluang agak sama rata, hanya atlet yang mempunyai ketahanan mental kuat serta dapat kawal perasaan mampu mara lebih jauh," katanya.

Semasa di Tokyo 2020, atlet kelahiran Kedah itu tumbang kepada wakil Jawatankuasa Paralimpik Rusia Bato Tsydendorzhiev, 2-6 di peringkat penyingkiran 1/16.

Sukan Paralimpik Paris 2024 dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 9:51 PM