MEGAT D Shahriman (tengah) bergambar bersama kontinjen Paralimpik pada Majlis Pelancaran Kira Detik 50 Hari Menjelang Temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, hari ini. Hadir sama, Setiausaha Agung MPM, Datuk Subramaniam Raman Nair. FOTO BERNAMA
MEGAT D Shahriman (tengah) bergambar bersama kontinjen Paralimpik pada Majlis Pelancaran Kira Detik 50 Hari Menjelang Temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, hari ini. Hadir sama, Setiausaha Agung MPM, Datuk Subramaniam Raman Nair. FOTO BERNAMA
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) meletakkan sukan boccia antara penyumbang empat pingat emas seperti disasarkan di Sukan Paralimpik Paris 2024, yang akan berlangsung pada 28 Ogos hingga 8 September nanti.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin melaungkan keyakinan itu selepas melihat prestasi atlet dari sukan itu ketika ini amat baik selain sukan lain akan terus menjadi taruhan utama untuk menghadirkan pingat emas seperti badminton, powerlifting dan olahraga.

"Setakat ini kita belum putuskan atlet mana diletakkan sasaran untuk menang emas, kita belum maklumkan lagi.

"Kita akan umumkan secara rasmi selepas mesyuarat jawatankuasa pemilihan nanti," katanya pada Majlis Pelancaran Kira Detik 50 Hari Menjelang Temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, hari ini.

Selain itu, Megat mengumumkan untuk setiap atlet yang layak ke Sukan Paralimpik Paris 2024 akan menerima sebuah kerusi urut dan beberapa barangan lain manakala paling utama adalah ganjaran berupa hadiah wang tunai menanti pemenang pingat di temasya empat tahun sekali itu yang akan diberikan oleh penaja dari syarikat berasaskan produk kesihatan, Zero Healthcare.

Untuk rekod, Malaysia meraih enam pingat emas di sukan terbesar dunia itu dan empat daripadanya hadir menerusi sukan olahraga.

Atlet lompat jauh T20 negara, Datuk Abdul Latif Romly antara yang cemerlang apabila memenangi dua emas di Rio 2016 dan Tokyo 2020 manakala Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m T36) (Rio 2016) dan Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru T20) (Rio 2016) sementara Cheah Liek Hou (badminton SU5) dan Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting) pada edisi Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 9:16 PM