Kumpulan gajah liar yang dipercayai daripada Taman Negeri  dilihat masih berkeliaran berhampiran penempatan penduduk di Pekan Kahang, Kluang. FOTO IHSAN PEMBACA.
Kumpulan gajah liar yang dipercayai daripada Taman Negeri dilihat masih berkeliaran berhampiran penempatan penduduk di Pekan Kahang, Kluang. FOTO IHSAN PEMBACA.
Adnan Ibrahim


GAJAH liar yang merosakkan tanaman kelapa sawit milik penduduk Kampung Sri Lukut sejak tiga hari lalu dikenal pasti daripada kumpulan gajah Taman Negeri yang dianggarkan antara 40 hingga 50 ekor.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, Salman Saaban berkata, ia dikesan melalui menggunakan kolar satelit yang dipasang pada seekor daripada kumpulan gajah terbabit.

Beliau berkata, kumpulan itu menggunakan kawasan persekitaran di antara Taman Negeri memasuki kawasan ladang sawit, perkampungan Orang Asli berhampiran sehingga ke kawasan Kahang Barat.

"Pihak jabatan akan menjalankan pemantauan serta kawalan lebih kerap dan operasi tangkapan akan dijalankan apabila sesuai.

"Bagaimanapun, pengusaha ladang dinasihatkan supaya memperkukuhkan sistem pagar elektrik masing-masing, manakala orang ramai ditegah mengambil tindakan sendiri yang boleh mengancam keselamatan mereka," katanya.

Salman berkata demikian ketika mengulas serangan gajah liar terhadap tanaman kelapa sawit milik Yusuf Ibrahim serta penduduk Kampung Sri Lukut yang dilaporkan oleh akhbar ini, semalam.

Menurutnya, pengecaman kumpulan gajah berkenaan dilakukan melalui siasatan anggota jabatan itu selepas menerima laporan daripada penduduk.

Semalam, akhbar ini melaporkan Yusuf Ibrahim,64, kerugian kira-kira RM100,000 apabila 200 daripada 250 pokok kelapa sawit yang diusahakannya sejak 10 tahun lalu dimusnahkan oleh kira-kira 50 ekor gajah liar.

Berikutan kejadian itu, penduduk Kampung Sri Lukut tidak berani ke kebun masing-masing kerana bimbang keselamatan mereka terancam serta mengharapkan bantuan pihak PERHILITAN untuk membantu menanganinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 5:05 PM