GHAZALI menunjukkan menunjukkan najis gajah dan pokok pisang yang musnah diserang gajah di Kampung, Tepus Jerangau,  Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
GHAZALI menunjukkan menunjukkan najis gajah dan pokok pisang yang musnah diserang gajah di Kampung, Tepus Jerangau, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


“SAYA ingat ribut malam tadi punca pokok pisang dan kelapa sawit tumbang, namun sebaik masuk ke kebun saya dapati ia sebenarnya berpunca daripada serangan gajah,” kata Hamad Zabir Mat Hasan, 60, selepas tanamannya di Kampung Tepus, Jerangau, Dungun, dimusnahkan gajah, hari ini.

Hamad Zabir berkata, dia ke kebunnya pada 11 pagi dan terkejut mendapati sebahagian tanaman pisang dan kelapa sawitnya musnah.

“Saya menanam pokok kelapa sawit dan pisang di atas tanah berkeluasan 2.4 hektar dan semua tanaman itu bakal mengeluarkan hasil pada bila-bila masa.

“Kejadian ini menyebabkan pokok kelapa sawit dan pisang itu musnah dan saya mengalami kerugian sekitar RM5,000,” katanya ketika ditemui NSTP.

Beliau percaya kumpulan gajah yang menyerang kebunnya itu melebihi lima ekor berikutan terdapat banyak najis gajah di situ.

Katanya, dia bersama lima lagi pekebun kelapa sawit dan pisang di kawasan itu bimbang kumpulan gajah itu akan kembali mengganas di situ.

“Kami berharap sangat pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengambil tindakan segera membantu kami mengatasi masalah ini.

“Sebagai langkah awal, kami akan membuat kawalan bermula malam ini bagi menghalau gajah terbabit daripada terus menceroboh kebun kami,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, beliau sudah melaporkan kejadian itu kepada pihak PERHILITAN untuk diambil tindakan.

Beliau berkata, serangan gajah di kampung itu adalah yang pertama berlaku.

“Dalam tahun ini, kumpulan gajah terbabit merosakkan tanaman penduduk di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) dan Bukit Besi.

“Kali ini kumpulan itu terus menceroboh tanaman di Kampung Tepus dipercayai untuk mencari makanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 6:23 PM