Penduduk tunjukan kerosakan pokok sawit semakin bertambah kerana seekor gajah liar masih berkeliaran di kawasan ladang di Kampung Kala. FOTO RAMLI IBRAHIM
Penduduk tunjukan kerosakan pokok sawit semakin bertambah kerana seekor gajah liar masih berkeliaran di kawasan ladang di Kampung Kala. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: "Sampai bila kami terpaksa berdepan ancaman gajah liar kerana banyak kerugian terpaksa ditanggung," kata Azman Husin, 35.

Azman dari Kampung Kala, dekat sini, berkata pendapatan penduduk terjejas teruk apabila seekor gajah jantan berkeliaran dan merosakkan tanaman kelapa sawit dan getah sejak lebih tiga bulan lalu.

Katanya, penduduk juga takut untuk keluar menoreh getah, malah banyak pokok getah dan kelapa sawit dimusnahkan haiwan terbabit dalam tempoh itu.

"Ada penduduk yang keluar menoreh getah mendakwa kerap terserempak dengan gajah liar itu menyebabkan mereka bergegas pulang ke rumah kerana bimbang.

"Saya sendiri masih takut untuk ke kebun kerana bimbang berdepan kejadian tidak diingini," katanya ketika ditemui di kebunnya, di sini, semalam.

Katanya, jika masalah itu terus dibiarkan tanpa tindakan mungkin lebih banyak kebun getah penduduk musnah dan menjejaskan pendapatan mereka.

Penduduk lain Baharum Mamat, 45, berkata masalah ancaman gajah di kebun penduduk bukan perkara baru.

Malah, katanya, gajah terbabit dipercayai terpisah daripada kumpulannya sejak lima bulan lalu.

"Kita merayu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat mengambil tindakan segera dengan memindahkan gajar terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 3:28 PM