PEGAWAI penyiasat SPRM ketika tiba di Menara HRD Corp, Bukit Damansara bagi menjalankan siasatan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PEGAWAI penyiasat SPRM ketika tiba di Menara HRD Corp, Bukit Damansara bagi menjalankan siasatan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pelaburan membabitkan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) menjurus kepada elemen jenayah.

Suruhanjaya itu dalam kenyataannya hari ini memaklumkan sudah memulakan penyiasatan berhubung isu itu dengan mengambil dokumen dari Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan HRD Corp hari ini, yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

"Hasil analisis awal mendapati 12 rumusan teguran diketengahkan dalam laporan audit itu, namun fokus utama siasatan SPRM menjurus kepada elemen-elemen jenayah (criminality) yang tertakluk mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"Perlu dijelaskan bahawa SPRM tidak akan menumpukan siasatan terhadap isu-isu kelemahan pengurusan serta ketidakakuran peraturan kerana perkara itu sudah pun dijelaskan dan diperkemaskan oleh pengurusan HRD Corp ketika exit conference (persidangan akhir) dengan Jabatan Audit Negara sebelum ini," katanya.

SPRM dalam kenyataan itu turut menyeru semua pihak memberi ruang dan masa yang mencukupi bagi proses siasatan ini dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.

Terdahulu Harian Metro melaporkan pasukan khas SPRM hadir ke Kesuma di Putrajaya dan Menara HRD Corp, di Bukit Damansara, hari ini, untuk menjalankan siasatan.

Sebelum ini, media melaporkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

Dapatan itu diperoleh menerusi slaid pembentangan HRD Corp bertarikh 12 Mac tahun ini seperti dinyatakan dalam laporan PAC berhubung Pengurusan Dana Latihan Dan Keberkesanan HRD Corp di bawah Kesuma.

Laporan PAC turut mendedahkan, panel pelaburan HRD Corp gagal melaporkan aktiviti pelaburan yang sepatutnya kepada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) atas justifikasi bahawa pengerusi panel pelaburan adalah pengerusi ALP.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 8:37 PM