Paya Linda Yahya


Gua Musang: Tidak hanya merosakkan tanaman penduduk, gajah liar di Kampung Awek, di sini, turut menyerang seekor lembu sehingga mati.

Dalam kejadian pada Khamis lalu, seekor lembu dewasa ditemukan mati dengan terdapat tusukan gading gajah di belakang badan.

Pemilik lembu, Nik Arifin Nik Muhammad, 59, berkata, kejadian disedari pada pagi Jumaat lalu ketika dia datang kebun getah miliknya.

Katanya, kira-kira jam 8 pagi, dia datang ke kebunnya seperti biasa dan melihat beberapa penduduk sudah ada untuk melihat lembunya yang mati.

"Kejadian mungkin berlaku pada tengah malam, kira-kira jam 11 malam ada rakan yang memaklumkan terserempak gajah berkeliaran berhampiran kebun saya.

"Lembu terbabit memang saya ikat di pokok kerana tidak mahu berkeliaran di kawasan kebun orang lain dan merosakkan tanaman.

"Terdapat kesan darah dan pergelutan di kawasan lembu yang diikat selain kesan tusukan gading gajah pada belakang badan lembu saya," katanya ketika ditemui di Kampung Awek di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Ismail Awang Hamad, 60, berkata, sejak dia mula membuka kebun di kawasan itu pada tahun 70-an kejadian serangan gajah tidak pernah berlaku.

Katanya, sejak dua bulan lalu gajah mula bertindak merosakkan tanaman seperti pisang, kelapa sawit dan pokok getah penduduk.

"Di kebun saya sendiri lebih 100 pokok pisang dan kelapa sawit dimusnahkan gajah liar terbabit sehingga terpaksa menanggung kerugian yang agak banyak kerana sebahagian pokok pisang sudah mula mengeluarkan hasil.

Nik Arifin menunjukkan lokasi lembunya yang mati di serang gajah liar. FOTO Paya Linda Yahya
Nik Arifin menunjukkan lokasi lembunya yang mati di serang gajah liar. FOTO Paya Linda Yahya

"Sebelum ini, kejadian seperti ini tidak pernah berlaku dan semakin kerap haiwan liar itu berkeliaran sejak dua minggu lalu.

"Berdasarkan kesan tapak kaki yang ditemui saya rasa terdapat tiga gajah dewasa dan seekor anak. Tindakan segera perlu diambil kerana sampai bila kami perlu menanggung kerugian sedangkan kami hanya menyara hidup dengan hasil bertani," katanya.

Ismail berkata, dia berharap penyelesaian jangka panjang dapat diambil pihak berwajib untuk membina pagar atau parit gajah.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, tindakan segera perlu diambil bagi mengesan dan menangkap gajah terbabit.

"Operasi menangkap gajah perlu disegerakan bagi mengurangkan kerugian yang ditanggung pekebun.

"Langkah penyelesaian perlu diambil oleh pihak kerajaan terutama pembinaan parit gajah atau pagar gajah, memandangkan pelbagai operasi dilaksanakan sebelum ini termasuklah memindahkan gajah yang masuk ke kebun di kawasan RPT Kesedar Sungai Terah dan Subong, namun isu ini tetap berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 1:35 PM