NORDIN memasang pagar elektrik untuk mengelak  kawasan kebun sawit di Kampung Seri Lukut diserang gajah liar.
NORDIN memasang pagar elektrik untuk mengelak kawasan kebun sawit di Kampung Seri Lukut diserang gajah liar.
Adnan Ibrahim

Kluang : Tidak mahu terus mengalami kerugian, 30 pekebun kecil sawit di Kampung Seri Lukut dekat sini, memasang pagar elektrik bagi mengelakkan kebun mereka dimusnahkan gajah.

Walaupun membelanjakan hampir RM10,000 untuk kebun seluas 0.8 hektar, mereka berpuas hati kerana hasil pemasangan pagar berkenaan berkesan menghalang kemasukan gajah liar ke kawasan kebun.

Pada 2015, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memasang pagar elektrik sepanjang 17 kilometer di kawasan hutan simpan bersebelahan kampung terbabit dan Kampung Temigol, tetapi langkah itu tidak dapat mengatasi sepenuhnya isu konflik manusia dan gajah.

Pekebun, Nordin Adam, 46, berkata, walaupun kedatangan gajah itu secara bermusim iaitu berselang antara tiga hingga empat bulan sekali, ia tetap boleh memusnahkan tanaman pada kadar banyak dan dia menanggung kerugian tinggi.

Katanya, kumpulan gajah antara lima hingga 10 ekor dipercayai datang dari hutan simpan berdekatan kampung terbabit dan kebiasaannya memasuki kebun pada waktu petang hingga Subuh.

“Walaupun beberapa tindakan diambil termasuk memasang pagar elektrik dan parit gajah di sempadan hutan simpan berdekatan kampung oleh PERHILITAN, ia tidak dapat menghalang pencerobohan gajah ini.

“Apa yang membimbangkan kami, gajah ini berani pergi berhampiran penempatan penduduk berbanding sebelum ini menyerang kebun saja,” katanya di sini, semalam.

Sehubungan itu Nordin berkata, penduduk kampung mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membina pagar sekeliling kebun dan rumah mereka kerana bimbang keselamatan keluarga selain tanaman sawit yang menjadi sumber utama pendapatan.

“Serangan gajah liar bukan hanya kepada tanaman sawit semata-mata sebaliknya turut membabitkan tanaman lain seperti pisang, pokok getah serta apa saja yang boleh dijadikan makanan,” katanya.

Bagi pekebun kecil, Norazman Mustafa, 55, penduduk kampung sudah lali kebun atau tanaman mereka dimusnahkan gajah liar dan berharap tindakan agresif daripada pihak bertanggungjawab dapat diambil segera.

“Ramai daripada kami tidak berani mengusir haiwan itu jika mendapati ada gajah liar berkeliaran di kawasan sekitar sama ada di dalam kebun atau berhampiran rumah kerana risaukan keselamatan masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 11:03 AM