FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Keadaan perairan negara, termasuk Laut Cina Selatan, masih terkawal daripada sebarang ancaman.

Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa bersedia dan menugaskan aset bagi menjaga kedaulatan perairan negara.

"TLDM melaksanakan operasi di perairan negara termasuk di perairan Laut Cina Selatan dan kawasan berkaitan. Memang ada kemasukan aset asing di kawasan berkenaan (yang sudah berlaku sejak 2013) dan kita akan laporkan untuk tindakan lanjut.

"TLDM sentiasa memantau bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebab ia turut membabitkan pengawasan udara dan kita (akan) melaporkan kepada pihak tertentu berkaitan kehadiran unsur-unsur asing ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Upacara Penamaan dan Pentauliahan Pusat Latihan Paskal kepada Kapal Diraja (KD) Panglima Garang di Pangkalan TLDM Lumut di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah portal pada 26 September lalu yang melaporkan, kurang 24 jam TUDM melakukan latihan bersama Amerika Syarikat (AS), China mula bertindak balas memberi 'amaran'.

Laporan itu berkata, beberapa portal pertahanan antarabangsa melaporkan sejumlah kapal pengawal pantai China menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Antaranya dua kapal negara komunis itu dengan kod CCG 5202 dan CCG 6307 yang bertindak biadab memasuki kawasan Sabah yang kaya dengan gas dan minyak mentah berkualiti.

Katanya, kehadiran kapal pengawal pantai asing sudah bermula sejak 2013 namun ia masih dalam keadaan terkawal dengan pemantauan dilakukan.

"Situasi itu masih lagi terkawal dan TLDM sentiasa melaksanakan tugasan di situ selama 24 jam dan akan sentiasa bersedia sepertimana yang diarahkan bagi memantau keadaan.

"Kita mengambil tindakan, memaklumkan mereka. Kita menghubungi mereka dan seterusnya akan melaporkan kehadiran mereka," katanya.

Bagaimanapun, katanya, untuk menganggap sesuatu kehadiran itu adalah pencerobohan, ia memerlukan siasatan dan pemeriksaan lanjut kerana mempunyai perbatasan maritim.

"(Apabila) dia (kehadiran sesebuah kapal asing) melalui kawasan berkenaan, kita akan melaporkan dan mengesan serta menyalurkan maklumat kepada pihak tertentu," katanya.

Terdahulu, upacara berkenaan disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (Dasar) Ahmad Nazri Mohd Hasan.

KD Panglima Garang dinamakan sempena nama Panglima Garang dalam sejarah Kesultanan Selangor iaitu gelaran yang dianugerahkan kepada pahlawan Melayu yang mempunyai sifat keberanian dan taat setia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 4:38 PM