SAZALEE menyampaikan anugerah sempena Hari TLDM Ke-88 di Padang Kawad KD Sri Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
SAZALEE menyampaikan anugerah sempena Hari TLDM Ke-88 di Padang Kawad KD Sri Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Markas Pemerintahan Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa bersiap siaga dalam memastikan tahap keselamatan di perairan negeri ini selamat serta terpelihara daripada ancaman anasir luar.

Ia dengan memastikan kesiapsiagaan aset berada pada tahap tertinggi serta meletakkan keanggotaan yang mencukupi.

Timbalan Panglima Armada Timur (TPA Timur) Laksamana Pertama Sazalee Shoib berkata, persediaan itu termasuk penugasan anggota yang tidak pernah berubah.

Kata Sazalee, setiap aset dan anggota akan terus ditempatkan di lapangan walaupun Aidilfitri bakal menjelang.

"TLDM sentiasa bersiap siaga berada di beberapa kawasan di perairan dalam tempoh 24 jam seminggu, termasuklah lima kapal yang ditempatkan di lokasi tertentu di perairan negara.

"Penugasan ini termasuklah di Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PLTSR) Lahad Datu dan lima stesen TLDM lain. Kita mempunyai kira-kira 640 anggota yang ditugaskan dan ditempatkan di sana bagi memastikan keselamatan perairan terjaga dan kedaulatan negara terjamin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perbarisan Hari TLDM ke-88 di padang kawad KD Sri Kota Kinabalu PTKK di sini, hari ini.

Sementara itu, Sazalee berkata, pihaknya juga berbesar hati dan bersyukur kerana dapat melaksanakan perbarisan yang cemerlang pada sambutan Hari TLDM tahun ini selepas dua tahun menghadapi kekangan akibat pandemik Covosd-19.

Kata Sazalee, perbarisan kali ini dijayakan dengan penyertaan 297 warga TLDM.

Sazalee berkata, bersempena sambutan Hari TLDM, pihaknya turut menyediakan empat anugerah penting iaitu Anugerah Piala Panglima, Piala Terumbu, Bintara Terbaik dan Laskar Terbaik.

Katanya, Anugerah Piala Panglima dan Piala Terumbu disediakan bagi mewujudkan persaingan sihat antara lima stesen TLDM di Laut China Selatan.

"Selain itu, ia juga termasuk 11 kapal masing-masing di Kota Kinabalu dan Sandakan dengan mengambil kira kesiapsiagaan, tahap selenggaraan, kompetensi, operasi latihan, disiplin dan sebagainya," katanya.

Anugerah Piala Panglima dimenangi KD Sri Gaya, Piala Terumbu disandang Stesen Uniform, Bintara Terbaik diberikan kepada PW I TMS Azmi Shuaid dari Unit Depot Senggara Armada Timur manakala Laskar Terbaik disandang LK PLM Muhammad Taufik Harudin dari Markas Wilayah Laut 2.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 3:39 PM