Dua koperal tidak mengaku salah meminta dan menerima rasuah. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Dua koperal tidak mengaku salah meminta dan menerima rasuah. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein


DUA anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas dua tuduhan meminta dan memperoleh rasuah daripada seorang lelaki yang disyaki melakukan perbuatan penyeludupan migran, tahun lalu.

Koperal Mohd Iruwan Ismail, 36, dan Koperal Osman Jamaluddin, 37, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan itu dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua-dua mereka didakwa meminta suapan RM6,000 daripada Hendragunawan Murat sebagai dorongan untuk melepaskan lelaki itu yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26C Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka yang ketika itu bertugas di Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di Kilometer 55, Lebuhraya E22 Senai-Desaru dekat Kota Tinggi, Johor, jam 1.45 petang, 25 Mac 2016.

Bagi perbuatan kedua pula, mereka didakwa secara rasuah memperoleh untuk diri mereka berdua suapan RM2,000 daripada Hendragunawan sebagai dorongan yang sama iaitu melepaskan lelaki itu di sebuah restoran di Jalan Suria 3, Bandar Seri Alam dekat Pasir Gudang, Johor, jam 7.05 malam, hari yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) serta Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Norsyarina Raizan menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan untuk kedua-dua tertuduh, namun dibantah peguam Siti Nadia Yahya yang mewakili mereka.

Siti Nadia memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan memandangkan kedua-dua anak guamnya masih mempunyai tanggungan keluarga seperti ibu bapa, isteri dan anak, malah mereka memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang dan menetapkan 19 September ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 3:11 PM