M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Seorang pegawai dan bekas kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,000 bagi melepaskan suspek kes dadah pada 2016.

Norzarenawati Osman, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan, Norzarenawati yang ketika kejadian bertugas sebagai Penolong Pegawai AADK Kuala Muda, dengan niat bersetuju menerima suapan wang tunai RM3,000 daripada Muhammad Russul Muhammad Radzi di sebuah rumah kosong di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani pada jam 3 petang, 7 Disember 2016.

Wang itu adalah sebagai dorongan bagi melepaskan seorang lelaki yang didapati positif dadah jenis syabu ketika saringan awal ujian air kencing yang menjadi kesalahan mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

ERWAN Yahya ketika hadir di Mahkamah Sesyen untuk mendengar pertuduhan mengenai kes menerima suapan daripada seorang individu berkaitan kes dadah pada 07 Disember 2020 lalu. FOTO Amran Hamid
ERWAN Yahya ketika hadir di Mahkamah Sesyen untuk mendengar pertuduhan mengenai kes menerima suapan daripada seorang individu berkaitan kes dadah pada 07 Disember 2020 lalu. FOTO Amran Hamid

Manakala bekas Pembantu AADK Kuala Muda, Erwan Yahya, 45, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,000 pada 2016.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima suapan berjumlah RM3,000 untuk diri sendiri daripada Muhammad Russul sebagai dorongan melepaskan seorang lelaki yang didapati positif dadah jenis syabu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kereta jenis Proton Iswara ketika melalui deretan kedai di Bandar Puteri Jaya pada jam kira-kira 5.30 petang, 7 Dis 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Erwan bersama Norzarenawati dengan niat bersama setuju menerima suapan berjumlah RM3,000 daripada Muhammad Russul sebagai dorongan melepaskan seorang lelaki positif dadah di sebuah rumah kosong di Bandar Puteri Jaya pada jam 3 petang tarikh sama.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan ke atas kedua-dua tertuduh dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Fauzee Azizan, manakala Norzarenawati tidak diwakili peguam dan Erwan diwakili peguam, Alias Ibrahim.

Murtazadi kemudian membenarkan Norzarenawati diikat jamin sebanyak RM8,000 dan Erwan sebanyak RM6,000 dengan kedua-dua mereka perlu perlu mengemukakan seorang penjamin, menyerahkan dokumen perjalanan serta melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 17 Mac depan sebagai sebutan semula kes dan kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 2:27 PM