Foto hiasan
Foto hiasan
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiga lokaliti di Sabah dan dua di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad ini hingga 9 Oktober depan.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata, dua daripada tiga lokaliti di Sabah yang dikenakan PKPD adalah Kampung Tinongian dan Kampung Karagasan di Ranau.

Menurutnya, satu lagi lokaliti di Sabah yang dikenakan PKPD adalah Base Camp Bornion Timber Sdn Bhd, Batu 46, Tulid di Sook dekat Keningau.

"Di Pahang pula, PKPD membabitkan kawasan Rumah Pangsa Jalan Karak, Mentakab di Temerloh dan Perkampungan Orang Asli di Pos Lenjang dan Pos Titom, Mukim Ulu Jelai di Lipis.

"Prosedur operasi standard (SOP) adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Rodzi, PKPD masing-masing satu lokaliti di Pahang, Perak dan Sabah pula ditamatkan esok.

"PKPD di Felda Keratong 5 di Rompin, Pahang; Kampung Ulu Groh di Kampar, Perak dan Kampung Kopungit , Kota Kinabalu, Sabah yang bermula sejak 12 September lalu tamat esok seperti yang dijadualkan," katanya.

Menurutnya, tiga lokaliti lain di Pahang yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan bermula 26 September hingga 9 Oktober depan.

Katanya, ia membabitkan Pos Sinderut, Mukim Ulu Jelai di Lipis dan dua Perkampungan Orang Asli, Kuala Krau di Temerloh, Pahang iaitu Kampung Pasu dan Kampung Panderas," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 9:31 PM