FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebahagian Kampung Pasir Kelang, Mukim Batu Mengkebang, Kuala Krai, Kelantan akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula Rabu ini hingga 16 Oktober.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata, pelaksanaan PKPD itu berdasarkan penilaian risiko dan trend jangkitan Covid-19.

"Sementara itu, PKPD di ladang dan kilang sawit RMDC Sdn Bhd, Bukit Koman, Mukim Gali, Raub, Pahang yang sepatutnya tamat, esok akan dilanjutkan bermula Rabu ini hingga 19 Oktober nanti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rodzi berkata, Kampung Garib, Matunggong, Kudat, Sabah dikenakan PKPD pada 22 September lalu akan ditamatkan esok seperti dijadualkan.

"Selain itu, Kampung Dusun, Pak Senam, Mukim Ulu Jelai, Lipis, Pahang yang dikenakan PKPD sejak 8 September lalu juga akan ditamatkan esok seperti dijadualkan.

"Tiga lokaliti di Rancangan FELDA di Bera, Pahang iaitu FELDA Rentam, FELDA Tementi dan FELDA Sebertak yang dikenakan PKPD sejak 29 September lalu akan ditamatkan esok iaitu lebih awal dari dijadualkan pada 12 Oktober ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 6:21 PM