Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Tiga lokaliti di Sabah dan Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula Sabtu hingga 8 Oktober ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad berkata, selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19, PKPD akan dilaksanakan di kawasan berkenaan.

"PKPD itu akan dilaksanakan di Kampung Pangkalan Abai, Kota Belud serta Kampung Telimau, Pos Terisu, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands dan PASDEC Damansara di Kuantan, Pahang.

"Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dibuat adalah sama seperti sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rodzi berkata, pelaksanaan PKPD juga ditamatkan di lima lokaliti di Sabah membabitkan Kampung Lembah Permai dan Kampung Desa Aman, Ranau; Sekolah Henry Gurney, Keningau; Taman Sungai Labuk, Beluran dan Kampung Timug, Matunggong, Kudat.

"Kampung Kuala Koyan, Mukim Ulu Jelai, Lipis, Pahang dan tujuh lokaliti di Paka, Dungun, Terengganu membabitkan Bandar Paka, Gong Gemia, Cacar Baru, Limbong, Kuala Paka, Taman Indah Permai dan Telaga Mas juga ditamatkan PKPD.

"Semua PKPD terbabit akan ditamatkan esok mengikut dijadualkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 7:37 PM