MAYAT nelayan, Mohd Noor dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut . FOTO Rosli Ilham
MAYAT nelayan, Mohd Noor dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut . FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Marang: Nelayan yang terjatuh ke laut selepas bot dinaiki bersama dua rakan dipukul ombak di muara Kuala Dungun, petang semalam, ditemui lemas, hari ini.

Mayat Mohd Noor Mamat, 67, ditemui terapung di kawasan perairan Pulau Kapas, pada 3.40 petang.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 25 kilometer dari tempat kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui bot pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak 38 batu nautika dari Kuala Dungun.

"Selepas menemui mayat itu, pasukan penyelamat segera menghubungi pusat kawalan operasi sebelum mayat dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Marang.

"Mayat dibawa naik ke jeti terbabit pada 4 petang sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk proses pengecaman," katanya.

Beliau berkata, keadaan arus deras dan ombak besar menjadi antara faktor mangsa dihanyutkan jauh dari lokasi kejadian dalam masa singkat.

Menurutnya, operasi SAR mangsa disertai lebih 50 anggota dari pelbagai agensi termasuk Unit Udara JBPM.

Dalam kejadian 1.55 tengah hari semalam, mangsa bersama seorang rakannya, Mohamad Ibrahim, 63, terjatuh ke dalam laut selepas bot gentian kaca dinaiki mereka bersama tekong, Mahadi Ibrahim, 56, dilambung ombak besar.

Mahadi berjaya menyelamatkan Mohamad namun mangsa hanyut dan penemuan mayatnya menyaksikan SAR ditamatkan pada 5 petang hari ini.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 6:47 PM