HELIKOPTER digunakan untuk mencari lelaki dikhuatiri lemas di Pantai Jambu Bongkok. FOTO Rosli Ilham
HELIKOPTER digunakan untuk mencari lelaki dikhuatiri lemas di Pantai Jambu Bongkok. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Marang: Helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan bagi mencari lelaki yang dikhuatiri lemas di Pantai Jambu Bongkok, hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari ketiga ini turut menggunakan enam jetski.

Timbalan Pengarah Operasi Bomba Negeri, Mohd Basri Kamarazaman berkata, kedua-dua helikopter itu digerakkan untuk pencarian di sekitar 25 kilometer dari Jambu Bongkok hingga ke Dungun.

Menurutnya, selain itu, dua bot Maritim Malaysia dan sebuah bot bomba turut terbabit dalam pencarian itu.

"Keadaan cuaca baik serta keadaan ombak yang sedikit tenang memudahkan pencarian dengan menggunakan jetski.

"Semalam keadaan ombak sangat kuat dan menyukarkan pasukan pencarian menggunakan bot dan kita berharap ombak semakin tenang bagi memudahkan operasi pencarian," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Basri berkata, pencarian disertai seramai 92 anggota daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk penduduk kampung.

"Berdasarkan kepada penemuan mayat mangsa lemas di Kelulut Marang pagi tadi, kita percaya mangsa di sini akan ditemui dalam keadaan yang sama," katanya.

Mayat bakal pengantin, Naim Hariri Kamaruddin, 31, ditemukan di tepi pantai Kampung Alur Tuman, di sini, jam 8.55 pagi tadi, kira-kira tiga kilometer dari lokasi dilaporkan lemas.

Media sebelum ini melaporkan dua lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Kelulut dan Pantai Jambu Bongkok, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.40 petang di Pantai Kelulut, Naim Hariri hilang selepas ditarik ombak ketika mandi di pantai berkenaan.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 48 tahun dari Hulu Terengganu pula dikhuatiri lemas selepas mandi bersama enam rakannya sebelum ditarik ombak ke tengah laut di Pantai Jambu Bongkok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 3:41 PM