Mayat Chong (gambar kecil) ditemui 7.30 malam tadi sebelum tiba di jeti APMM Kemaman pagi ini. FOTO Rosli Ilham
Mayat Chong (gambar kecil) ditemui 7.30 malam tadi sebelum tiba di jeti APMM Kemaman pagi ini. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


MAYAT seorang lagi pemancing yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Pulau Tenggol, Dungun, kelmarin ditemui semalam.

Mayat Chong Yuen Khang, 36, ditemui bot nelayan tempatan 7.30 malam pada jarak 30 batu nautika dari Kertih.

Mayat mangsa diserahkan kepada kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kemaman.

Mayat mangsa tiba di jeti APMM Kemaman 6.45 pagi tadi sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Terdahulu, abang dan rakan mangsa yang membuat pengecaman mengesahkan mayat mangsa.

Sebelum ini, mayat mangsa pertama, Chan Kai Wai, 51, dijumpai 1 tengah hari semalam pada jarak 30 batu nautika arah timur Kertih bersama tiga rakannya yang terselamat iaitu Choo Yaw Wu, 48; Lok Win Thye, 28; dan warga Singapura, Tan Buck Choon, 51.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid mengesahkan penemuan mayat kedua terbabit.

Dalam kejadian 1 pagi kelmarin, bot dinaiki lima mangsa bersama seorang tekong dan dua awak-awak karam selepas dibadai ribut dan ombak besar.

Tekong, Erwan Nordin, 39, bersama dua awak-awak, Baharudin Jusoh, 52, dan Mohamad Zulkifli Isnain, 26, diselamatkan nelayan 5.30 petang kelmarin manakala lima pemancing itu terpisah dan hilang akibat ombak kuat.

Operasi membabitkan tiga helikopter iaitu satu AW139 dan dua Dauphin AS365N3 digerakkan ke lokasi pencarian seluas 170 batu persegi awal pagi semalam bersama sebuah kapal ronda maritim KM Nusa selain turut membabitkan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Kuantan dan Persatuan Nelayan Kawasan Dungun.

Katanya, empat mangsa termasuk Kai Wai ditemui helikopter berpaut di boya pada kedudukan 30 batu nautika timur Kertih iaitu 15 batu nautika dari lokasi bot dilaporkan karam.

Berita berkaitan

[UPDATE] Ikat mayat rakan pada boya

'15 jam bertarung nyawa di laut'

'5 pemancing dikhuatiri lemas'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 11:15 AM