Shahrizan (kanan) bersama Abdul Yunus (tengah) melihat bubu naga yang dirampas APMM. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shahrizan (kanan) bersama Abdul Yunus (tengah) melihat bubu naga yang dirampas APMM. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Operasi membanteras penggunaan bubu naga secara habis-habisan mungkin boleh dilaksanakan sekiranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diberi kuasa menangkap dan merampas peralatan itu di jeti nelayan.

Pengarah APMM Zon Maritim Perak Shahrizan Rahman berkata, pihaknya hanya diberikan kuasa untuk membuat rampasan dan tangkapan penggunaan bubu naga di lautan sahaja.

Namun pihaknya sedia memberi kerjasama kepada agensi atau jabatan berkaitan yang boleh berbuat demikian dengan menyediakan kemudahan yang diperlukan.

"Cadangan membuat operasi di jeti nelayan ini kita ada sarankan kepada pihak yang lebih berkuasa untuk melaksanakannya dan kami sedia bekerjasama dan boleh menyediakan kemudahan seperti lori dan sebagainya.

"Pada masa depan, sekiranya APMM ada kuasa berbuat demikian, Insya-Allah kita akan laksanakannya," katanya pada sidang media rampasan bubu naga di Jeti Zon APMM Kuala Kurau di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Abdul Yunus Jamhari dan Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali.

Menurut beliau, APMM dalam peringkat perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengharamkan penjualan bubu naga di premis-premis sebagai satu daripada kaedah membanteras penggunaannya daripada terus berleluasa.

Sementara itu, pada operasi pembanterasan penggunaan bubu naga yang dibuat di Perairan Kuala Kurau semalam, 241 bubu naga bernilai RM21,600 dirampas.

"Sepanjang Januari ini sehingga semalam, 500 bubu naga bernilai RM45,000 dirampas APMM Zon Maritim Kuala Kurau.

"Sebelum ini, pada 6 April, kami melupuskan 1,338 bubu naga yang dirampas sepanjang 2020," katanya.

Menurut beliau, penggunaan bubu naga di perairan Perak tidak berada di peringkat kritikal.

Kata beliau, ia hanya digunakan di kawasan utara iaitu Pantai Remis, Bagan Panchor dan Kuala Kurau.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata, cadangan pengharaman penjualan bubu naga di premis-premis akan dibincangkan dengan lebih menyeluruh di peringkat atasan.

Tambahnya, komuniti nelayan perlu memainkan peranan dan melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui adanya aktiviti penggunaan bubu naga di kawasan perairan nelayan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 1:18 PM