TIGA nelayan ditahan bersama 90 set bubu naga. FOTO ihsan APMM.
TIGA nelayan ditahan bersama 90 set bubu naga. FOTO ihsan APMM.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Kurau menahan tiga orang nelayan dan merampas 90 set bubu naga di perairan Kuala Kurau, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari, pihaknya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan 6.8 batu nautika barat daya di muara Kuala Kurau.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga kru warga tempatan termasuk tekong berumur antara 19 hingga 31 tahun berada di atas bot.

"Sebanyak 90 set bubu naga ditemui diatas bot bersama 50 kilogram hasil laut. Pemeriksaan lanjut juga mendapati lesen bot adalah sah namun tidak diusahakan pemiliknya sendiri serta spesifikasi enjin tidak sama seperti yang didaftarkan, "katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya semua kru, bot serta alat kelengkapan tangkapan ikan dan hasil laut dibawa ke jeti pengkalan Maritim Zon Kuala Kurau.

Tambahnya kes disiasat di bawah Seksyen 8 (B) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen dan Seksyen 11 (3) (B) akta yang sama kerana memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 2:11 PM