Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Zakat Pulau Pinang (ZPP) menyantuni enam beradik yatim piatu di flat Ampang Jajar di sini, hari ini bagi meneliti bentuk bantuan yang boleh disalurkan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Zakat Pulau Pinang (ZPP), Mohamad Kairi Ghazalli berkata, pihaknya ke rumah mereka untuk mengambil maklumat dan meneliti apa bentuk bantuan seterusnya kepada enam beradik berkenaan.

"Mengikut semakan kita, keluarga ini ada menerima bantuan bulanan sebanyak RM450 sebulan sebelum ini.

"Bantuan ini kita akan sambung dan meneliti beberapa bentuk bantuan lain yang boleh disalurkan bagi meringankan beban enam beradik ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Media sosial semalam dibanjiri dengan hantaran warganet yang simpati dengan keadaan enam beradik berusia antara empat hingga 18 tahun yatim piatu yang menjalani kuarantin.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Zakat Pulau Pinang (ZPP), Mohamad Kairi Ghazalli (kanan)menyerahkan bantuan kewangan kepada enam beradik  yang kehilangan ibu mereka akibat Covid-19 di Flat Ampang Jajar, Butterworth. FOTO Nur Izzati Mohamad
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Zakat Pulau Pinang (ZPP), Mohamad Kairi Ghazalli (kanan)menyerahkan bantuan kewangan kepada enam beradik yang kehilangan ibu mereka akibat Covid-19 di Flat Ampang Jajar, Butterworth. FOTO Nur Izzati Mohamad

Ibu mereka meninggal dunia akibat Covid-19 minggu lalu manakala bapa meninggal dunia pada Mac lalu akibat angin ahmar.

Sementara itu, tinjauan di kediaman berkenaan mendapati penduduk memberi bantuan meletakkan barangan keperluan terutama makanan di luar pintu rumah mereka.

Difahamkan, sepanjang tempoh kuarantin itu, segala urusan serta keperluan harian enam beradik itu dibantu oleh jiran sekeliling yang prihatin apabila melancarkan kutipan derma.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 3:43 PM