Nur Izzati Mohamad


LEMBAGA Tabung Haji (TH) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM3.44 juta bagi tahun kewangan berakhir 2018 kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP), hari ini.

Zakat perniagaan itu disampaikan Pengurus Besar Kanan (Haji) TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.

Majlis penyerahan itu turut disaksikan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

Syed Salleh berkata, bayaran zakat TH bagi Pulau Pinang pada kali ini mencatatkan peningkatan 24.9 peratus berbanding tahun 2017 iaitu RM2.759 juta.

“Setiap tahun TH melaksanakan bayaran zakat bagi menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah organisasi Islam dengan sasaran memperkasakan kewangan Islam dan pembangunan sosio ekonomi ummah terutaman golongan asnaf.

SYED Saleh (kiri) menyampaikan zakat perniagaan Tabung Haji tahun 2018 kepada Tun Abdul Rahman (tengah) sambil disaksikan Ahmad Zakiyuddin di Seri Mutiara, Georgetown, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam
SYED Saleh (kiri) menyampaikan zakat perniagaan Tabung Haji tahun 2018 kepada Tun Abdul Rahman (tengah) sambil disaksikan Ahmad Zakiyuddin di Seri Mutiara, Georgetown, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam

“Kita berharap pembayaran zakat ini dapat dimanfaatkan ZPP ke arah kemampanan program-program zakat yang dirangka di negeri ini,” katanya.

Secara keseluruhannya, jumlah bayaran zakat TH pada tahun lalu adalah RM85.57 juta berbanding RM67.61 juta pada 2017 iaitu dengan peningkatan sebanyak 26.6 peratus.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP Amran Hazali berkata, pihaknya berbesar hati menerima zakat perniagaan daripada TH yang menjadi organisasi wajib pada setiap tahun menjalankan tanggungjawab mereka membantu golongan asnaf.

“Lebih menggembirakan bayaran zakat kali ini juga menunjukkan peningkatan lebih RM1 juta dan berharap dapat terus meningkat pada tahun-tahun seterusnya.

“Walaupun keadaan ekonomi kurang memberangsangkan tetapi kita yakin bahawa banyak syarikat akan tampil menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.

Pada tahun ini, ZPP menyasarkan kutipan bayaran zakat berjumlah RM125 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 3:19 PM