Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Anak penjual nasi lemak dari Kepala Batas bersyukur menerima bantuan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) yang membolehkannya meneruskan pengajian dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Arab di Universiti Yarmouk, Jordan.

"Kos sara hidup di Jordan sangat tinggi dan jika tiada bantuan zakat ini, mana mungkin saya mampu membiayai pengajian, apatah lagi keluarga bukannya orang senang," kata Luqman Haqim Awang Kecil, 20.

Menurutnya, ketika menerima tawaran melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di negara itu, dia terfikir mungkin terpaksa melupakan hasrat berkenaan disebabkan masalah kewangan.

Katanya, dia juga memikirkan kesusahan keluarga kerana bapanya hanya menjual nasi lemak, manakala ibu suri rumah selain mempunyai kakak yang menuntut di Mesir dan lima adik masih bersekolah.

LUQMAN Haqim. FOTO Nur Izzati Mohamad
LUQMAN Haqim. FOTO Nur Izzati Mohamad

"Alhamdulillah saya bersyukur simpanan daripada kerja sambilan yang dilakukan sebelum ini, selain wang bantuan dapat menampung kos pengajian saya.

"Bantuan zakat berjumlah RM12,000 ini pula sangat meringankan beban ibu bapa saya," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan Dermasiswa Pengajian ZPP di sini, hari ini.

Luqman Haqim antara 1,031 pelajar yang menerima bantuan itu yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali.

ZPP memperuntukkan RM5.35 juta sebagai dermasiswa untuk membantu pelajar asnaf menyambung pengajian di universiti tempatan dan luar negara.

Mengulas lanjut, Luqman memberitahu ketika ini dia hanya menjalani pengajian dalam talian disebabkan penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 3:35 PM