Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menetapkan tiga kadar bayaran zakat fitrah iaitu RM7, RM12 dan RM16 bagi tahun ini.

Tiga kadar itu ditetapkan selepas mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang Dipertua MAINPP Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, penetapan tiga kadar bayaran berkenaan adalah untuk memberi peluang kepada umat Islam negeri ini yang memiliki kelebihan dari segi kemampuan menunaikan kewajipan zakat fitrah mengikut kadar yang lebih tinggi iaitu RM16.

Bagaimanapun, katanya, bagi mereka yang tidak berkemampuan dan mempunyai tanggungan ramai boleh membuat bayaran zakat pada kadar RM7 seperti yang ditetapkan pada tahun lalu.

"Kadar tertinggi itu ditetapkan bagi mereka yang makan jenis beras berkualiti tinggi seperti Bastmathi dan setara dengannya.

"Bagi kumpulan majoriti yang memakan beras jenis super special tempatan lima peratus, super special tempatan 10 peratus, beras tempatan standard, beras tempatan premium atau lain-lain setara dengannya ditetapkan kadar RM7 seorang.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali  menunjukkan tiga kategori kadar zakat fitrah tahun 2021 bagi negeri Pulau Pinang di Ibu Pejabat ZPP, Bandar Perda di sini.  FOTO DANIAL SAAD
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali menunjukkan tiga kategori kadar zakat fitrah tahun 2021 bagi negeri Pulau Pinang di Ibu Pejabat ZPP, Bandar Perda di sini. FOTO DANIAL SAAD

"Kadar bayaran RM12 pula dikhususkan bagi kumpulan yang memakan beras wangi, beras pulut dan beras Calrose/Poney atau yang setara dengannya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Zakat Pulau Pinang (ZPP), di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan dapat mengutip zakat fitrah sebanyak RM6 juta bagi tahun ini berbanding RM5.54 juta tahun lalu.

Katanya, tahun ini, 1,719 amil ditauliahkan di seluruh Pulau Pinang dan 232 kariah ditetapkan sebagai pusat kutipan.

"Bagaimanapun, disebabkan kita masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) maka bagi kaedah pembayaran konvensional mesti mematuhi tatacara khas yang disediakan oleh ZPP.

"Pada masa sama, umat Islam juga digalakkan membuat bayaran zakat melalui dalam talian atau beberapa platform aplikasi digital yang akan diumumkan kelak," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, kaedah pembayaran zakat fitrah secara dalam talian pada tahun lalu meningkat sekali gus meyakinkan pihaknya sasaran kutipan dapat dicapai tahun ini.

"Berikutan pandemik Covid-19, kita dapati orang ramai sedar akan kemudahan dalam talian yang disediakan apabila tahun lalu sahaja sebanyak 11 peratus orang membayar zakat fitrah melalui kaedah dalam talian dan ia naik mendadak kerana sebelum ini hanya lima peratus sahaja pembayar zakat menggunakan kemudahan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 5:52 PM