KEADAAN di sungai Pos Lenjang yang dibadai kepala air, hari ini. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN di sungai Pos Lenjang yang dibadai kepala air, hari ini. FOTO ihsan pembaca
Mohd Rafi Mamat


TIGA rumah penduduk Orang Asli yang terletak di tepi sungai Pos Lenjang, Lipis, musnah dibadai kepala air yang membawa bersama lumpur, hari ini.

Kejadian berlaku selama 30 minit bermula 10.30 pagi itu menyaksikan kepala air deras yang turut membawa bersama batu besar dan balak sehingga memusnahkan kediaman.

Ketua Zon Tiga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, hujan lebat menyebabkan berlakunya tanah runtuh di laluan ke Pos Titom menyebabkan 847 penduduk di lima kampung di situ terputus hubungan.

Bagaimanapun katanya, kejadian kali pertama di kawasan berkenaan tidak menyebabkan kemalangan jiwa atau kecederaan.

"Jalan terputus menyebabkan kenderaan tidak boleh keluar masuk ke Pos Lenjang dan terdapat tiga rumah dilanda kepala air itu.

"Semua penghuni rumah dapat menyelamatkan diri dan tiada mangsa yang terbabit dalam kejadian pagi tadi," katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi berkata, pihaknya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah sudah menghantar jentera seperti jentolak bagi melakukan pembersihan jalan menuju ke Pos Titom yang dilanda tanah runtuh.

Beliau berkata, pegawai JAKOA daerah sudah ke kawasan rumah penduduk terjejas bagi memantau dan membantu selepas menerima aduan.

Menurutnya, beliau akan ke tempat kejadian esok bagi melihat bencana yang berlaku seterusnya memikirkan bantuan sesuai diberikan kepada mangsa.

"Saya berharap kerja membersihkan lumpur, batu dan kayu dapat dilakukan dengan lancar bagi memberi peluang kepada penduduk setempat meneruskan rutin harian mereka.

"Lebih penting lagi memberi peluang kepada 400 murid termasuk guru di dua sekolah di situ meneruskan sesi persekolahan seperti biasa," katanya, dihubungi hari ini.

Beliau berkata, difahamkan penggunaan jentera berat seperti jentolak melancarkan lagi usaha mengalihkan sisa pokok tumbang dan batu besar yang menutupi laluan.

Johari berkata, keadaan cuaca yang baik diharap dapat melancarkan lagi aktiviti membersih di kawasan penempatan Orang Asli berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 10:10 PM