Penduduk Orang Asli di Pos Lenjang membantu memindahkan bantuan disediakan kerajaan Pahang.
Penduduk Orang Asli di Pos Lenjang membantu memindahkan bantuan disediakan kerajaan Pahang.
Mohd Rafi Mamat


BARANGAN keperluan harian seberat 10 tan dihantar menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke penempatan Orang Asli di Pos Lenjang, Lipis, yang terputus hubungan selepas kejadian banjir lumpur, kelmarin.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainal Abidin berkata, bantuan bencana bernilai RM85,000 itu disediakan sepenuhnya kerajaan Pahang melalui JKM dalam usaha meringankan beban masyarakat Orang Asli di kawasan terbabit.

Beliau berkata, peruntukan itu diluluskan segera oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebaik mengetahui kejadian banjir lumpur hingga menyebabkan perhubungan Pos Lenjang dengan dunia luar terputus.

"Bantuan keperluan harian seperti beras, minyak masak, ikan masin, gula, kopi, teh dan sardin diagihkan kepada 403 ketua keluarga dan dapat digunakan selamat lima hari.

"Keprihatinan Menteri Besar (Wan Rosdy) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak terhadap masyarakat Orang Asli di negeri ini tidak perlu dipertikaikan, pelbagai bantuan dan kemudahan disediakan kepada mereka sepanjang tahun.

"Dua penerbangan ihsan menghantar keperluan harian terbabit menggunakan kawasan padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford bermula 11 pagi hari ini," katanya.

Beliau yang turut memantau proses penghantaran bantuan terbabit berkata, difahamkan Pejabat Menteri Besar Pahang dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang akan menghantar bantuan keperluan harian selepas ini.

Menurutnya, Pejabat Daerah dan Tanah Lipis serta beberapa agensi kerajaan lain turut berusaha membantu memulihkan keadaan berikutan kejadian tanah runtuh yang mengakibatkan perhubungan terputus.

"Saya berharap bantuan keperluan harian disediakan hari ini dapat meringankan beban ditanggung masyarakat Orang Asli di Pos Lenjang berikutan mereka kini terperangkap di kampung berikutan jalan terputus.

"Terdapat 847 penduduk membabitkan lima kampung di kawasan Pos Lenjang dan Pos Titom yang turut menempatkan dua sekolah rendah," katanya.

Kejadian banjir lumpur pada Sabtu lalu disebabkan kepala air yang membawa bersama lumpur menyebabkan tiga rumah musnah dan terputus hubungan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 4:37 PM