Sebahagian Orang Asli yang sudah menerima suntikan vaksin. FOTO Hazreen Mohamad
Sebahagian Orang Asli yang sudah menerima suntikan vaksin. FOTO Hazreen Mohamad
Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bh.com.my


Putrajaya: Sebanyak 128,548 dos vaksin Covid-19 sudah diberikan kepada masyarakat Orang Asli sehingga semalam dalam usaha kerajaan melindungi mereka daripada wabak itu.

Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, jumlah itu membabitkan masyarakat Orang Asli yang menerima satu dos, melengkapkan dua dos vaksin dan menerima satu dos vaksin jenis CanSino.

Beliau berkata, angka itu membabitkan sejumlah 80,884 atau 56.1 peratus masyarakat Orang Asli yang sudah menerima vaksin berbanding 144,180 jumlah keseluruhan masyarakat Orang Asli yang layak divaksin di seluruh negara.

Katanya, tiga negeri mencatatkan kadar terendah vaksinasi dalam kalangan masyarakat Orang Asli iaitu Terengganu, Kelantan dan Johor dengan jumlah keseluruhan golongan itu yang belum menerima vaksin di ketiga-tiga negeri ini adalah seramai 16,127 individu.

"Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) bagi memastikan masyarakat Orang Asli diberi vaksinasi dengan segera.

"Keutamaan vaksinasi kepada masyarakat Orang Asli menerusi Program Jangkauan Luar (outreach) ini adalah menjadi komitmen KPLB dan JAKOA memandangkan masyarakat ini tinggal di pedalaman serta mempunyai kesukaran perhubungan dan akses dari segi logistik untuk ke pusat vaksinasi yang disediakan oleh kerajaan di bandar atau pekan terdekat

"Bagi negeri yang rendah kadar vaksinasi ini, pihak KKM akan menggunakan vaksin jenis CanSino iaitu suntukan satu dos bagi mempercepatkan kadar vaksinasi dalam kalangan mereka memandangkan lokaliti masyarakat ini yang terletak di pedalaman," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Abdul Rahman berkata, kementerian itu akan terus bekerjasama dengan agensi strategik lain bagi mempercepatkan pemvaksinan di kawasan pedalaman.

Selain itu, beliau berkata, penggunaan secara optimum aset kerajaan seperti helikopter dan bot ke kawasan pedalaman terbabit diyakini mampu meningkatkan kadar vaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober ini seperti yang dirancang oleh kerajaan.

"Kerjasama ini adalah selari dengan konsep seluruh kerajaan, seluruh rakyat dalam memerangi pandemik Covid-19.

"Kerajaan akan memastikan seluruh 'Keluarga Malaysia' terutama masyarakat Orang Asli dapat menjalani kehidupan seperti biasa seterusnya memulihkan kembali ekonomi yang terjejas dan menjana pendapatan untuk sara hidup masyarakat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 6:37 PM