Yusmizal Dolah Aling


Sungai Petani: Menjalani hidup sebagai orang kurang upaya (OKU) bukanlah alasan untuk tidak melakukan apa-apa dan menyalahkan takdir, sebaliknya perlu berusaha untuk berdikari.

Itu yang dilakukan Nora Abdullah, 20, yang nekad mempelajari kemahiran dengan sebaik mungkin walaupun bergantung sepenuhnya dengan kerusi roda untuk bergerak.

Penghuni Bengkel Daya Sungai Petani itu berkata, dia tidak malu untuk berdepan orang ramai dengan takdir dirinya yang cacat dan akan melakukan sehabis baik bagi mencari kemahiran untuk meneruskan hidup.

"Saya baru masuk ke sini pada April lalu dan akan belajar bagaimana untuk bekerja di pasar raya.

"Memang saya akui agak susah sebab keadaan saya yang bergantung penuh dengan kerusi roda, tetapi saya yakin boleh melakukannya," katanya ketika ditemui di program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Kedai Ayamas.

Dia yang menjalani kursus berkaitan batik di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi sebelum ini, turut mempunyai masalah kesihatan berkaitan buah pinggang.

Namun dia tetap ingin meneruskan tekad belajar kemahiran dan hidup berdikari seperti insan lain.

"Setakat ini, saya belum tahu bidang apa yang akan diajar, saya akan cuba sehabis baik," katanya.

Nora antara penerima di majlis penyerahan sumbangan Program TKHM bersama Kedai Ayamas di Bengkel Daya Sungai Petani, semalam. Foto Danial Saad
Nora antara penerima di majlis penyerahan sumbangan Program TKHM bersama Kedai Ayamas di Bengkel Daya Sungai Petani, semalam. Foto Danial Saad

Pada majlis itu, pengurusan bengkel yang mempunyai 32 penghuni terbabit menerima sumbangan keperluan asas serta pek Nasi Ayam.

Sumbangan itu disampaikan Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro Muhamad Safar Ahmad.

Hadir sama Pengurus Operasi Kedai Ayamas Cawangan Utara Fauziah Ahmad Shaari, Penolong Pengurus Komunikasi Korporat Kara Holdings Nurfarah Abd Jamaludin dan Pengarang Berita Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM Noor Azam Ab Aziz.

Sementara itu, Muhamad Safar berkata, TKHM yang dijalankan memasuki tahun ke-15 memberi tumpuan untuk membantu golongan memerlukan.

Menurutnya, dengan adanya kerjasama baik dari rakan strategik seperti Kedai Ayamas, lebih banyak golongan sasar dapat dibantu sekali gus meringankan beban mereka terutama ketika pandemik ini.

"Insya-Allah kita akan teruskan dengan menyantuni mereka yang memerlukan selepas ini," katanya.

Kerjasama dengan Kedai Ayamas itu membabitkan sembilan rumah kebajikan di Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Lembah Klang, Terengganu dan Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 3:28 PM