Zuhainy Zulkiffli

Balik Pulau: Keceriaan terpancar pada wajah 30 pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) Pusat Harian Harapan Bakti Balik Pulau, Jalan Sungai Nipah di sini, ketika diraikan dalam Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Kedai Ayamas, hari ini.

Pusat harian itu dikendalikan tiga tenaga pengajar bagi latihan kemahiran di bengkel jahitan dan terapi kerja.

Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro Muhamad Safar Ahmad berkata, program berkenaan bertujuan meringankan beban golongan sasar seperti anak yatim, ibu tunggal, golongan B40 serta istimewa dan rumah kebajikan.

Kata beliau, selain memberi set makanan Ayamas, pekerja berkenaan turut menerima sumbangan barangan makanan dan Kotak Rezeki.

"Harian Metro bersama Kedai Ayamas terpanggil bagi membantu meringankan beban golongan sasaran ini, sekali gus merapatkan hubungan dengan masyarakat.

"Harian Metro tidak sekadar menyumbang berita, tetapi turut menyelami hidup masyarakat yang memerlukan terutama selepas pandemik Covid-19," katanya ditemui.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Kedai Ayamas Abd Rahman Md Dawi, Pengarang Berita Harian Metro merangkap Pengarah Projek Titipan Kasih Harian Metro Noor Azam Abd Aziz, wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Ishwaran Nadarajan dan Pengerusi Pusat Harian Harapan Bakti Balik Pulau Salmah Bee Mohd Eusoff.

Dua pokok limau kasturi turut ditanam sebagai simbolik penganjuran program TKHM di pusat berkenaan.

Abd Rahman dalam ucapannya berkata, majlis itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.

Katanya, ada tiga cawangan Kedai Ayamas di Pulau Pinang iaitu di Sungai Nibong, Sungai Dua dan Seberang Jaya manakala cawangan keempat dijangka dibuka pada Ogos ini di Bayan Lepas.

"Kami berharap dapat menyalurkan lebih banyak sumbangan dalam program seperti ini hasil daripada jualan di Kedai Ayamas.

"Difahamkan, pekerja OKU di sini, diberi latihan cara kerja dan ia adalah pendekatan yang baik kepada mereka di alam pekerjaan," katanya.

Sementara itu, Salmah Bee turut merakamkan penghargaan terhadap penganjuran program berkenaan.

"Tumpuan kami ialah mahu melatih pekerja OKU di sini, dengan kemahiran supaya mereka mampu meraih pendapatan sendiri pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 5:00 PM
MUHAMAD Safar (kiri) bersama Abd Rahman (empat kanan) menanam pokok limau kasturi di Pusat Harian Harapan Bakti Balik Pulau. Turut hadir, Salmah Bee (dua dari kiri) dan Pengarang Berita Harian Metro Noor Azam Abd Aziz (tengah). FOTO Mikail Ong

ANTARA pekerja di Pusat Harian Harapan Bakti Balik Pulau. FOTO Mikail Ong
ANTARA pekerja di Pusat Harian Harapan Bakti Balik Pulau. FOTO Mikail Ong
MUHAMAD Safar (kanan) bersama Abd Rahman (dua kanan) diiringgi Salmah (dua kiri) melawat bengkel jahitan dan kraftangan di Pusat Harian Harapan Bakti Balik Pulau. FOTO Mikail Ong
MUHAMAD Safar (kanan) bersama Abd Rahman (dua kanan) diiringgi Salmah (dua kiri) melawat bengkel jahitan dan kraftangan di Pusat Harian Harapan Bakti Balik Pulau. FOTO Mikail Ong
MUHAMAD Safar (tiga kanan) bersama Abd Rahman (kiri) menyampaikan sumbangan kepada pekerja OKU pada Program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Kedai Ayamas di Pusat Harian Harapan Bakti Balik Pulau. FOTO Mikail Ong